PRN Johor Bakal Jadi Batu Nisan Terakhir Buat PPBM




23 Mac nanti, Malaysia akan berseragam hitam tanda berkabung kematian Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Malangnya, nisan bakal dipacak di tanah kelahiran Presiden Bersatu sendiri.



Bersatu sedar nyawanya kini di hujung tanduk. Sebab itu beberapa gerakan terdesak dilancarkan mereka bagi menyambung hayat parti. Tanpa segan silu, Bersatu mengemis nasib kepada Pakatan Harapan yang ditikam mereka sebelum ini untuk bergabung demi melawan Barisan Nasional. Malah, kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Gambir seolah-olah memberi signal bahawa Bersatu tidak yakin.



Seperkara yang menjadi topik hangat menjelang PRN Johor adalah Undi 18. Lebih kurang 749 ribu pengundi baru bakal mengambil bahagian dalam perayaan demokrasi kali ini. Undi golongan muda ini masih menjadi tanda tanya. Namun, tindakan Muhyiddin Yassin yang melengahkan pelaksanaan Undi 18 dan menghalang pendaftaran MUDA sewaktu menjadi Perdana Menteri berkemungkinan besar bakal memakan diri. Tindak-tanduk ini memberi konotasi bahawa beliau tidak mempercayai suara anak muda.



Bercakap soal MUDA, parti tersebut bakal membuat kemunculan sulung di Johor. Warisan dan Pejuang turut dikhabarkan bakal berpencak di gelanggang demokrasi. Hal ini akan menyebabkan perpecahan undi yang lebih besar. Rata-rata penganalisis politik menyifatkan perpecahan undi bakal memberi manfaat kepada Barisan Nasional. Dalam persaingan 3 penjuru di Melaka sebelum ini, Bersatu hanya mampu pulang dengan 2 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Pecahan undi yang lebih besar di Johor Mac nanti bakal menimbuskan peluang Bersatu untuk berdiri.



Bersatu turun dengan imej pembelot. Sekiranya Bersatu menampilkan ‘katak’ sebagai calon, bersedialah untuk dilanggar dan mati katak. Kebanyakan jelata marhaen meletakkan salah kemelut politik di Malaysia belakangan ini di pundak Bersatu. Pengundi sudah serik untuk memberikan percaya kepada politikus Bersatu memandangkan mereka tidak setia dan berprinsip.



Bersatu dibina daripada darah sahabat lama yang ditikam dari belakang. Sejarah mengajar kita betapa hayat seorang pembelot itu tidak berpanjangan. Iklim politik semasa langsung tidak menyebelahi Bersatu. Berbekalkan momentum daripada pilihanraya kecil dan negeri sebelum ini, Barisan Nasional dilihat bakal berkenduri besar di Johor. Sementara mereka bersorak, penyokong-peyokong Bersatu akan berkabung menyaksikan bunga raya menjadi layu. 



Oleh : Johan Mat

 

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA