5 Fakta Anda Tidak Tahu Tentang Ismail Sabri

 




Dari Bera ke Putrajaya, perjalanan politik sosok yang bernama Ismail Sabri Yaakob cukup berbeza. Latar belakang kehidupan beliau yang serba sederhana membentuk seorang negarawan yang kita kenal hari ini. Ayuh kita soroti 5 fakta tentang Ismail Sabri yang kurang diketahui umum.

 

1)      Bapa beliau merupakan seorang penoreh getah.

 

Ismail Sabri tidak dilahirkan di atas dulang emas. Bapa beliau mencari nafkah sebagai penoreh getah bagi mengisi perut 8 orang anaknya. Hasil menyimpan wang selama bertahun-tahun, akhirnya bapa beliau berjaya membuka sebuah kedai runcit. Sementara itu, ibunya menjual buah-buahan di pasar Temerloh. Ismail Sabri mewarisi minat berniaga ibu bapanya. Sewaktu masih di bangku persekolahan, beliau menjual ais krim dan permainan tikam kepada rakan-rakannya. Beliau kini membesar sebagai seorang politikus yang memahami keluh kesah rakyat kerana asal usulnya yang serba sederhana.

 




2)      Ismail Sabri merupakan ‘anak kampung’ sejati.

 

Ismail Sabri amat berbangga dengan asal usul beliau. Beliau menghabiskan masa kanak-kanaknya dengan berkubang di sungai-sungai sekitar Kampung Bukit Tingkat. Disebabkan keluarganya tidak mampu memiliki televisyen, beliau sering mengunjungi Panggung Seri Temerloh untuk menonton filem koboi bersama anak buahnya, Azhar Mohamed. Jati diri sebagai ‘anak kampung’ ini diteruskan beliau sehingga kini. Sewaktu bergelar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,  beliau melancarkan satu agenda transformasi dikenali sebagai “Membandarkan Luar Bandar” bagi memastikan pembangunan yang lebih terancang di kawasan-kawasan pedalaman.

 

3) Tesis Sarjana Muda Undang-Undang beliau bertajuk “Layanan Terhadap Tahanan Politik di Malaysia”.

 

Ismail Sabri merupakan seorang aktivis hak asasi. Demi mempertahankan hak mereka yang teraniaya, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaya di bawah jurusan undang-undang. Tesis tahun akhir beliau menyentuh soal keabsahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menurut Perlembagaan Persekutuan. Ismail Sabri merupakan beberapa politikus yang menyokong pemansuhan ISA pada tahun 2011.




4)      Beliau adalah penyokong tegar Chelsea.

 

Ismail Sabri adalah peminat sukan bola sepak. Meskipun sudah menyertai kabinet, beliau sering kali dilihat menonton perlawanan bola sepak melibatkan pasukan kegemarannya, Chelsea di tempat-tempat awam seperti restoran mamak. Beliau turut mengambil berat tentang pembangunan bola sepak tempatan. Ketika merasmikan upacara pecah tanah Ibu Pejabat FAM Januari lalu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada badan induk bola sepak itu. Semasa ucapan perasmian, beliau menggesa FAM mencontohi Chelsea yang menumpukan pembangunan bola sepak diperingkat awal.

 


5)  Ismail Sabri adalah individu pertama yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang di Malaysia.

 

Secara relatifnya, Ismail Sabri masih muda namun sarat dengan pengalaman. Beliau pernah mengetuai 5 kementerian yang berbeza di samping menggalas jawatan Menteri Kanan, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Sewaktu Barisan Nasional tumbang pada 2018, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Hal ini menjadikan beliau satu-satunya politikus di Malaysia yang pernah mengetuai kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat.



Perjalanan Ismail Sabri dari Bera ke Seri Perdana adalah unik dan membanggakan. Meskipun kini di puncak kuasa, beliau tetap beriman kepada resmi padi dan terus merendah diri. Inilah pemimpin yang benar-benar datangnya daripada rakyat, dan baktinya juga adalah benar-benar untuk rakyat.

 

Oleh : Johan Mat

 

 


Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA