Bahasa Jiwa Keluarga Malaysia
Semalam saya menyaksikan secara langsung sidang media bersama
Ismail Sabri Yaakob dengan Prayuth Chan o-Cha, Perdana Menteri Thailand.
Seperkara yang benar-benar menuntun perhatian saya adalah penggunaan Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar oleh Perdana Menteri kita sewaktu berucap.
Bila agaknya kali terakhir Perdana Menteri Malaysia
menggunakan bahasa kebangsaan ketika
menghadiri urusan rasmi di negara luar? Sekiranya pemimpin Jepun, China, Rusia,
Korea Selatan dan Thailand mengekalkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing di
persidangan antarabangsa, mengapa pula kita tidak mahu menggunakan Bahasa
Melayu?
Bahasa Melayu mempunyai 380 juta penutur di seluruh dunia.
Bahasa ini berasal dari Sumatera Selatan, berkembang kepada Bahasa Melayu Johor
- Riau, menjadi lingua franca sehinggalah masih ditutur 160 ribu orang Melayu
Cape di Afrika Selatan hari ini.
Justeru itu, para pemimpin negara usah khuatir menggunakan
bahasa ibunda kita. Ratusan juta penduduk bumi memahami bait-bait kata anda. Di
pentas antarabangsa, anda membawa nama Malaysia. Identiti Malaysia ada pada
bahasanya.
Bahasa jiwa bangsa. Bahasa jiwa Keluarga Malaysia.
Beberapa hari lalu Ismail Sabri mengumumkan penggunaan Bahasa
Melayu untuk setiap urusan rasmi negara. Beliau memimpin melalui teladan.
Bahasa Melayu digunakan dalam siri lawatan kerja beliau ke Brunei, Kemboja dan
Thailand. Bahasa ibunda akan terus menjadi halwa telinga pemimpin-pemimpin dunia
setiap kali mereka berurusan dengan Perdana Menteri Malaysia.
Usaha memartabatkan bahasa ibunda oleh Ismail Sabri disambut beberapa
suara-suara sumbang yang mengkritik. Misalnya, Nga Kor Ming yang pantas
menghantar ciapan di Twitter kononnya penggunaan Bahasa Melayu di pentas global
adalah tindakan yang salah.
Usah malu berbahasa ibunda, tetapi malu kerana tidak tahu berbahasa
Melayu dengan tata dan luhur yang baik meskipun sudah dilantik sebagai wakil
rakyat.
Tanggungjawab memartabatkan Bahasa Melayu terletak di pinggir
bibir para penuturnya. Kita ada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Akta
Bahasa Kebangsaan, Pekeliling Perkhidmatan Awam dan yang terpaling penting,
kita punya identiti diri. Satu-satunya identiti yang dikongsi kesemua ahli
Keluarga Malaysia merentas ras dan warna adalah Bahasa Melayu.
Comments
Post a Comment