Gandingan DSIS – DSMK Formula Terbaik Untuk Kestabilan Politik Dalam UMN
1. Saya merasakan ada sebab besar ketidakhadiran Dato Seri Ismail Sabri dalam pelancaran jentera PRN Johor tempoh hari. Mengapa? Tidak cukup dengan itu, Dato Seri Ismail Sabri tiba tiba ke Kedah bertemu pemimpin bahagian UMNO Kedah yang dihoskan oleh Tok Det. Mengapa?
2. Secara analisis politiknya, ada satu formula besar yang sedang dirancang bagi menstabilkan semula suhu politik dalaman UMNO.
3. Tok Det adalah sosok UMNO dari Kedah. Beliau berpengalaman luas sebagai penjawat awam. Sebelum disunting oleh Pak Lah terjun dalam dunia politik. Sehingga akhirnya, beliau di angkat sebagai Menteri Besar Kedah.
4. Tok Det mendapat sokongan penuh akar umbi UMNO Kedah atas dasar beliau pernah menjadi Ketua Perhubungan UMNO Kedah.
5. Sebab itu, ketika pertandingan Naib Presiden, Tok Det di tangga kedua selepas Ismail Sabri. Ismail Sabri dengan 183 undi, manakala Tok Det dengan 125 undi. Mungkin kebetulan, adakah ini regu yang baik untuk UMNO selepas ini?
6. Kalau tidak silap saya, mereka juga sangat berpengalaman dalam mengurus tadbir Kementerian Luar Bandar bagi menjamin kebajikan masyarakat luar bandar. YAB DSIS lagilah tak pernah dilantik sebagai timbalan Menteri dalam mana mana portfolio yang dipegang, ternyata cukup kuat untuk memimpin. Sekarang, Tok Det memegang jawatan Menteri Luar Bandar sama seperti YAB PM kita dulu. Memang Menteri ‘pakcik pakcik’. Yalah, nak jaga orang-orang kampung lah katakan.
7. Tak cukup dengan itu, pengundi pengundi tradisi UMNO merasakan mereka adalah golongan ‘cool head’ yakni senang dirapati, mudah bersembang dan paling penting pakar ambil hati orang orang lama dan tua.
8. Kalau kita buka semula lembaran sejarah UMNO, Tokdet ini naik ke jawatan Naib Presiden bagi menggantikan Dato Shamsul Anuar Nasarah dan yang paling penting tiada langsung sensasi kes mahkamah bukan seperti sesetengah pemimpin UMNO. Nahh!
9. Selain itu, Tokdet sangat berhati hati dalam karier politik beliau sehinggakan setiap bahagian UMNO Kedah masih dijaga kebajikannya untuk mendapat sokongan akar umbi yang padu. Secara politiknya, ini strategi yang sangat bagus dalam jangka masa Panjang nafas UMNO.
10. Saya sebagai orang lama dalam UMNO yang dah lama perhatikan UMNO dari luar merasakan gandingan ini seperti gandingan sosok Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Mereka juga juara kebajikan rakyat luar bandar, mereka juga raja sentimen orang orang kampung, dan mereka juga kekuatan akar umbi UMNO.
11. Seandainya dua akar tunjang yang mendasari sebuah pohon, maka teguh dan tidak akan tumbang jatuh.
12. Maka, saya secara peribadi merasakan formula terbaik buat UMNO adalah gandingan Dato Seri Ismail Sabri dan Dato Seri Mahadzir Khalid.
Comments
Post a Comment