Ismail Sabri Taruhan Terbaik UMNO
Semboyan pilihanraya umum kian
berkumandang. Seperkara yang masih menjadi persoalan di benak fikir sekalian
hulubalang UMNO di peringkat akar umbi adalah, siapakah panglima yang akan
mengemudi parti keramat ini untuk perang yang mendatang?
PRU-15 bukan perang sebarang
perang, ini medan untuk membuktikan kepada jelata marhaen betapa UMNO masih
releven untuk mengemudi nusa.
Ada 4 nama yang mangli dizikirkan
sebagai calon poster boy UMNO. Namun
hanya satu yang benar-benar layak.
1.
Najib Razak
Dunia politik adalah kejam dan
tidak hadir dengan peluang kedua (melainkan anda adalah Tun M). Najib sudah
diberikan mandat untuk mengetuai UMNO dalam PRU-14. Beliau sudah tewas dan
dimalukan.
Rindu zaman bossku? Barisan
Nasional sudah tentu tidak merindui zaman tersebut. Pentadbiran Najib
menyaksikan kerusi Parlimen BN menurun daripada 140 (PRU12) kepada 133 (PRU13)
kepada 79 (PRU14). Ini legasi Najib Razak.
2.
Zahid Hamidi
UMNO menghendakkan wajah baru.
Zahid perlu fokus untuk membersihkan nama beliau sebelum diberikan kepercayaan
untuk membersihkan nama parti.
UMNO tidak boleh mencagarkan
nasib parti kepada masa hadapan pemimpinnya yang tidak pasti. Zahid perlu
membela diri daripada 47 tuduhan rasuah dan pecah amanah. UMNO sudah tidak
mampu menjadi perisai besi kepada politkus usang dari kandang tertuduh.
3.
Mohamad Hasan
Tok Mat adalah calon yang popular
di peringkat akar umbi. Meskipun pernah terpalit dengan kontroversi penggubahan
wang haram, nama beliau sudahpun dibersihkan. Kebimbangan terbesar terhadap Tok
Mat adalah karekter jaguh kampung yang tersemat dengan imej beliau.
Sejak berpencak di gelanggang
politik, beliau tidak pernah bertanding di peringkat Parlimen. Beliau juga
tidak pernah menyertai jemaah kabinet. Dinamik politik di peringkat persekutuan
dan negeri cukup berbeza. Semasa PRU-14, UMNO Negeri Sembilan di bawah
kepimpinan beliau telah tumbang.
4.
Ismail Sabri
Muda, bersih, setia dan
berpengalaman. UMNO memerlukan penjenamaan semula. Wajah baru parti ini hanya
akan hadir dengan wajah baru pemimpinnya.
Ismail Sabri merupakan sebahagian
daripada jemaah kabinet di bawah 4 pentadbiran yang berbeza. Pengalaman beliau
menguruskan pandemik Covid-19 sebagai Menteri Kanan adalah mustahak untuk diketengahkan.
Nama beliau juga bersih dan tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana isu rasuah.
Hal ini penting untuk memberi signal kepada Malaysia bahawa UMNO hadir dengan
imej baru.
Kritikan terbesar terhadap Ismail
Sabri adalah karekter yang terlalu tenang dan bersahaja berbanding sosok
sesetengah pemimpin lain. Namun, ketenangan beliau usah disalah tafsir. Sewaktu
kejatuhan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin, beliau berentap satu lawan satu
menentang Anwar Ibrahim.
No Anwar, No PKR, No DAP – itu mantra
yang dikhutbahkan MKT UMNO yang dipegang rapat Ismail. Di saat beberapa
pemimpin lain membelakangi parti dan bersedia untuk bersekongkol dengan Anwar,
Ismail setia dengan UMNO.
Ternyata kesetiaan beliau
berbalas.
UMNO dibina atas semangat watan
yang dahagakan kemerdekaan. Kini, parti keramat ini pula perlu dimerdekakan.
UMNO perlu merdeka daripada cengkam kuku besi ‘warlords’. Parti ini mendesak
kepada wajah baru yang muda, bersih, setia dan berpengalaman.
Ismail Sabri untuk UMNO. Ismail
Sabri untuk Malaysia.
Oleh : Johan Mat
Comments
Post a Comment