Legasi Kepimpinan Razak Diwarisi Ismail
Sosok pemimpin bernama Ismail Sabri sering mengingatkan saya kepada seorang lagi negarawan dari Pahang.
Bukan si dia, tapi bapanya. Tun
Abdul Razak bin Dato’ Hussein.
Banyak persamaan yang dikongsi
kedua-dua negarawan ini. Mereka merupakan anak jati Pahang yang mula berpencak
di gelanggang politik sebagai aktivis mahasiswa. Kedua-duanya adalah graduan
undang-undang. Mereka berdua pernah menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah, Menteri Pertahanan, Timbalan Perdana Menteri sebelum menjadi
Perdana Menteri Malaysia.
Ayuh kita soroti persamaan lain
di antara kedua-dua politikus ini.
1.
Mengambil alih pentadbiran negara selepas krisis
darurat.
Tun Razak dan Ismail Sabri
mempunyai tugas berat sebaik memanaskan kerusi Perdana Menteri. Mereka perlu
membawa negara keluar daripada kemelut politik yang tidak berkesudahan. Bagi
Tun Razak, beliau memimpin negara yang masih terluka berikutan Peristiwa 13
Mei. Ismail Sabri pula mengetuai negara yang masih belum sembuh daripada
pandemik yang mewabak. Lebih mengeruhkan keadaan, banyak pihak yang memilih
untuk berpolitik sewaktu kedua-dua pemimpin ini mahu fokus kepada pemulihan
negara.
2.
Pembasmian kemiskinan sebagai agenda utama.
Ismail Sabri dibesarkan oleh
keluarga penoreh getah sewaktu Tun Razak menjalankan kerja-kerja permodenan
industri pertanian. Tun Razak bertanggungjawab menubuhkan FELDA serta
melancarkan Dasar Ekonomi Baru. Ismail Sabri adalah anak kelahiran DEB.
Fokus pembasmian kemiskinan
diteruskan Ismail Sabri sebaik beliau melibatkan diri dalam dunia politik.
Sewaktu di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, beliau menjalankan
agenda transformasi Membandarkan Luar Bandar. Kini di Perdana Putra, beliau
memfokuskan kepada pembasmian miskin bandar menerusi Pakej Kesejahteraan
Keluarga Malaysia Kuala Lumpur.
3.
Krisis dalaman parti.
Kedua-dua negarawan ini menjadi
Perdana Menteri sewaktu UMNO sedang lemah dan menghendakkan perubahan. Tun
Razak mengambil alih pentadbiran negara setelah prestasi buruk UMNO dalam
Pilihanraya Umum 1969. Meskipun mendapat tentangan dalaman, beliau berjaya membawa
wajah baru UMNO dengan pembentukkan Barisan Nasional dan menarik masuk kembali
pemimpin muda seperti Tun Mahathir. UMNO juga dilanda dilema pada waktu itu
berikutan kes rasuah yang melibatkan pemimpin parti iaitu Harun Idris.
Skrip yang sama berulang kembali.
Prestasi buruk UMNO dalam PRU, parti memerlukan imej baru, tentangan dalaman
dan kes rasuah pemimpin parti. UMNO menghendakkan perubahan, soalnya adakah
Ismail Sabri akan diberikan peluang sebagaimana Tun Razak mendapat peluang
untuk mengubah parti sebelum ini?
Semakin kita menuruti perjalanan
politik Ismail Sabri, semakin kita sedar bahawa setiap langkah yang diambil
mirip Tun Razak. Tun sudah diberikan peluang mengubah nusa, kini giliran Ismail
pula. Semoga roh Tun Razak aman di sana mengetahui legasi kepimpinan beliau diwarisi
seorang anak Pahang bernama Ismail Sabri.
Oleh : Johan Mat
Comments
Post a Comment