Legasi Tun Razak Diwarisi Ismail Sabri 2.0
Tulisan ini adalah sambungan koleksi kesinambungan pendekatan serta "style" Ismail Sabri meneruskan legasi Tun Razak:
1. Membina negara dengan Perpaduan
Tun Razak telah menggagaskan "Rukun Negara" sebagai Tiang Seri atas 5 prinsip untuk memandu kehidupan masyarakat supaya bersatu-padu dan harmoni pasca malapetaka 13 Mei.
Sementara, Ismail Sabri, diuji hebat akibat krisis pandemik berlarutan, juga mengajak seluruh rakyat mendasari nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di bawah payung "Keluarga Malaysia".
Ironinya, dua tokoh ini berpasak pada rukun yang sama yakni - kesepakatan kesatupaduan rakyat lah bisa membebaskan negara dari kekalutan krisis.
2. Berani Berjuang untuk Bumiputera
Siapalah Bumiputera kalau bukan Tun Razaklah pejuangnya. Beliaulah titik permulaan kepada agenda pembangunan Bumiputera, tentunya melalui "Dasar Ekonomi Baru (DEB)". Inilah yang merubah lanskap sosial dan ekonomi bangsa, sehingga melahirkan ramai pakar-pakar cerdik pandai Bumiputera.
Ismail Sabri wajar dipuji atas keberaniannya. Di sebalik sensitiviti perkauman dan era keterbukaan bersuara, beliau lantang menggagaskan "Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB2030)" bagi menumpukan usaha mempertingkat status sosio-ekonomi Bumiputera.
Kedua-duanya lulusan Undang-undang, fasih dan faham bahawa Hak Istimewa Bumiputera harus sentiasa dijunjung.
3. Kepercayaan kepada Pemimpin Muda
Tun Razak memang terkenal dengan agenda mengetengahkan pemimpin muda yang berkebolehan sebagai pelapis masa depan. Ketika itulah Tun M, Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam digilap, ternyata akhirnya, menjadi permata.
Ismail Sabri pula, Undi18 direalisasikan. Parti MUDA tergantung daftar pun diluluskan. Undi18 dan MUDA inilah berjaya merangsang UMNO untuk mula meramaikan calon anak muda dan tampil segar demi meraih sokongan muda belia. Inilah strategi bijak Ismail Sabri memperkasa UMNO!
4. Ucap Kata Jujur & Buat Kerja
Sebuah bab dari "Tun Abdul Razak-Potret dalam Kenangan" menceritakan rasa kurang senang sesetengah pihak terhadap ucapan Tun Razak yang tidak dramatik dan kurang bersemangat.
Ironinya, Ismail Sabri turut dilabel serupa. Tidak berdegar-degar, tidak retorik. Tetapi beliau tenang. Biarlah gaya oratornya biasa sahaja, yang penting, isi kandungnya mesti jelas dan apa jua yang diungkapkan harus dilaksanakan, hasil kerja lebih diutamakan.
Lagipun, sejarah negara sendiri bersaksi ada pemimpin yang degar ucapnya, retorik bicaranya, janji bulan dan bintang, tidak pun diangkat menjadi Perdana Menteri.
5. "Trendsetter" berfesyen
Jangan terkejut kalau digelar Tun Razak "trendsetter" dalam berfesyen. Beliaulah yang mencadangkan busjaket sebagai pakaian pejabat dan sering dipakai ketika turun padang. Cocok dengan cuaca kita katanya, malahan disukai orang awam.
Ismail Sabri pun tak kurang hebatnya, tular fesyen kemeja batik beliau ketika mengendalikan Sidang Media COVID zaman PKP, sehingga ke hari ini, baju batik moden Ismail Sabri sering mencuri perhatian. Menariknya lagi, Ahli Parlimen pun boleh bergaya batik buat julung-kalinya. Molek dan indah!
Mungkin inilah hikmah negara dilanda bencana dalam bencana, Tuhan mengamanahkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kita PERSIS DNA Tun Abdul Razak yang telah terbukti berjaya mengemudi negara ketika krisis bertahun dahulu..
Teruskan berkhidmat DSIS !
Comments
Post a Comment