Menggemakan Suara Keluarga Malaysia Di Pentas Tertinggi Demokrasi Negara


 

Andai demokrasi itu dibina daripada bata dan simen, parlimen adalah rumahnya. Parlimen merupakan pentas tertinggi bagi wakil-wakil rakyat beradu fikir dalam mengetengahkan isu yang melibatkan kemaslahatan jelata marhaen.

 

Rakyat kini sedang lemas dalam banjir, pandemik dan kos sara hidup. Isu-isu ini tidak boleh tenggelam dalam kesibukan politikus berpolitik. Parlimen adalah mulut yang menyampai dan telinga yang mendengar keluh kesah rakyat.

 

Pujian sewajarnya dihamburkan kepada Ismail Sabri. Beliau berani dan sedar akan kepentingan parlimen dalam tata berdemokrasi. Sebelum ini, Muhyiddin Yassin bertindak mengunci pintu parlimen demi memanjangkan hayat politik beliau. Biarkan nyawa rakyat terkorban dek pandemik yang mewabak, asalkan usia beliau sebagai Perdana Menteri berpanjangan.

 

Ismail Sabri mahukan akauntibiliti. Beliau mahu kerja-kerja beliau dan jemaah menteri disemak dan diimbang sekalian ahli perwakilan yang bersidang. Beliau mahu suara Keluarga Malaysia digemakan di pentas tertinggi demokrasi negara.

 

Semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Parlimen ke-14 pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan supaya ahli-ahli Parlimen mengekalkan persefahaman dan memelihara kestabilan politik. Semoga titah baginda diambil dan dihadam sebaiknya oleh semua.

 

Kepada wakil-wakil rakyat, anda mewakili rakyat. Bersidanglah dengan matang dan berhemah mengikut luhur demokrasi berparlimen. Moral rakyat kini sedikit merudum berikutan permasalahan yang melanda di Malaysia, serta mengenangkan nasib saudara kita di Ukraine dan Rusia. Tanggungjawab semakin berat, kita harus semakin kuat.

 

Hentikan perbalahan politik tidak berkesudahan dan kembalikan fokus kepada ahli Keluarga Malaysia. Negara ini dibina daripada semangat berkeluarga yang mengenepikan perbezaan ras dan warna demi kemerdekaan. Semoga semangat ini dihidupkan kembali bersama Keluarga Malaysia. Selamat bersidang!

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA