PRN Johor : Ujian Ismail Sabri
Semua pihak perlu sedar bahawa kedudukan YAB PM Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah sokongan dari keseluruhan komponen Perikatan Nasional termasuk UMNO, BERSATU sekalipun PAS dalam konsesi yang dicapai sebelum 20 Ogos 2021. Selesai satu kemelut negara, bersama mimpi sebuah kestabilan.
Dalam keadaan politik yang tidak stabil, parti komponen ini memilih DSIS sebagai sosok kepimpinan yang dipercayai berbanding sesiapapun. Kepercayaan perikatan telah diberikan kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai lambang kepada dan penggerak ke arah sebuah kestabilan.
Tanpa DSIS, Perdana Menteri ke-9 sekarang ini besar kemungkinannya bukan dari UMNO.
Setakat ini DSIS telah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara walaupun kekangan kewangan kerajaan, krisis kesihatan awam dan tekanan politik pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing.
Maka akar umbi UMNO perlu sedar di posisi ini tidak lunak untuk ahli UMNO menyerang Perdana Menteri dengan spekulasi DSIS tunduk kepada BERSATU, keputusan bersyarat untuk mengangkat beliau sebagai PM juga adalah sokongan dari UMNO. Mengapa perlu berpatah balik kepada keriuhan?
Namun Ismail sebagai Perdana Menteri yakin beliau bertanggungjawab memelihara kerukunan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Namun begitu, beliau sedar adalah lebih baik serahkan soal politik kepartian PRN Melaka kepada presiden.
Atas dasar hormat kepada Presiden, dan demi kestabilan di dalam UMNO sendiri, DSIS tidak campur tangan atau sengaja menunjuk lagak demi dominasi atau nama. Hasilnya, BN menang majoriti di Melaka. Kerana sebuah kestabilan.
Strategi dan falsafah DSIS ialah konsep “Keluarga Malaysia”, sebab itu awal-awal lagi beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan. Beliau ialah ketua ‘keluarga’ negara.
Sebagai bapa Keluarga Malaysia, DSIS mengutamakan keadilan dan keharmonian dalam kalangan parti politik seperti yang dititipkan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong – “yang menang tidak ambil semua dan yang tewas tidak kalah semua”.
Resipi ini sudah menjadi. Ramuannya lengkap tidak lebih dan tidak kurangnya.
Soalannya, populariti sebenar Ismail Sabri akan diuji di PRN Johor. Di Melaka masih ada pengaruh Bossku dan Wak Jahid. Tapi di Johor 100 peratus sosok Ismail Sabri. Kerana Presiden UMNO telah pun di arah membela diri oleh Mahkamah. Semua orang faham situasinya. Yang diuji kali ini adalah Ismail Sabri. Adakah simbolik kestabilan mampu menang besar? Adakah Keluarga Malaysia akan menang selesa?
Kita tunggu dan lihat.
Oleh : Osman Safee
Comments
Post a Comment