RAKYAT YAKIN KEPIMPINAN ISMAIL SABRI, BN BAKAL MENANG BESAR DI JOHOR.

1. Rakyat Johor bakal melunaskan hak demokrasi pada 12 Mac nanti bagi memilih Kerajaan Negeri untuk tempoh lima tahun akan datang. 


2. Momentum PRN ternyata sudah membara, lebih-lebih lagi dalam kalangan jentera Barisan Nasional dan UMNO. Nakhoda perangnya sudah melangkah, strategi dan KPI dibahagi mengikut zon. Hanya tunggu masa manifesto dan calon diumumkan. 


3. Laporan dari lapangan mendapati majoriti rakyat Johor sudah serik untuk mengundi Pakatan Harapan. PKR, DAP mahupun AMANAH boleh lah mengibarkan "bendera putih". 


4. MUDA dan PEJUANG pula, berita di lapangan, memang dua parti ini seakan amat asing, tidak dikenali rakyat Johor,  apatah lagi mahu dipilih mewakili mereka. Ini pun, bersedialah "berputih mata" akibat hilang wang deposit.


5. Sebenar-benarnya, keyakinan rakyat Johor kepada Barisan Nasional dan UMNO, besar dipengaruhi oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri mengurustadbir negara ketika ini. 


6. Banjir yang turut melanda sebahagian daerah di Johor turut menerima perhatian YAB PM. Beliau sempat turun padang melawat dan mengagihkan bantuan di Johor serta ketegasan beliau menyegerakan Bantuan Wang Ihsan amat dihargai. 


7. Malah, perhatian beliau kepada mangsa banjir ini sangat komprehensif, dari Wang Ihsan Tunai ke Inisiatif Baiki Rumah termasuklah terkini, menambah baik bantuan kepada golongan peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas bencana. Pada hemat beliau, jangan kecualikan sesiapa, yang terjejas wajib dibantu. 


8. Kemudian, cerita hangat ketika ini tentunya harga ayam dan telur. Inipun sangat dekat dengan penternak, penjual dan masyarakat di Johor. Kalau kita imbas komitmen YAB PM dalam isu harga ayam dan telur ini, bermula sejak November 2021 lagi. Dari harga siling RM 10.30, turun sehingga RM 8.90 sekilo ayam. Laporan akhbar pun rata-rata rakyat berasa lega dengan keseriusan Kerajaan pimpinan YAB PM menetapkan harga siling yang berpatutan ini. 


9. Terbaru, beliau mengarahkan lanjutan subsidi kepada penternak dan ke atas harga telur ayam. Inilah cara kerja YAB PM kita, bersasar dan holistik serta memastikan situasi "win-win". Semua pihak dapat dibantu. 


10. Seperkara lagi, akar umbi UMNO turut  mengakui kredibiliti YAB PM Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO yang sangat taat, setia dan patuh kepada Parti walaupun beliau berada di pundak kuasa. 


11. Sedari awal, beliau serahkan kepercayaan kepada UMNO Johor malah, tidak campur tangan dalam apa jua keputusan Presiden dan Pengarah Jentera PRN Johor. Inilah tanda sokongan tak berbelah bahagi YAB PM kepada Jentera UMNO dan BN di PRN Johor.


12. Style beliau yang enggan melayan "noisy politics" perlu dipuji seluruh akar umbi UMNO dan BN. Ketika turun bersama Jentera PRN Johor di Muar, beliau mengajak jentera parti bersatu hati, dan menggesa rakyat Johor memilih BN kerana konsep kebersamaan Keluarga Malaysia, BN sahajalah yang mampu menjaga semua bangsa di Malaysia. 


13. Janji Ismail Sabri untuk terus memastikan Pusat stabil, supaya rakyat kembali merasai nikmat makmur pasca pandemik dan bencana. Dan inilah juga semboyan yang dilaung jentera BN di PRN Johor, Kestabilan demi Kemakmuran!  


14. Inilah wibawa YAB PM Ismail Sabri, aura dan pesonanya meniupkan angin positif dan menyemarakkan semangat kepada rakyat Johor untuk beramai-ramai tanpa sangsi memangkah Dacing Barisan Nasional. 


Dengan izin dari Nya, Barisan Nasional akan mengesah-takluk Johor pada 12 Mac nanti. 


Terima Kasih YAB Perdana Menteri !

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA