Dividen KWSP 6.1% Bukti Kecekapan Pengurusan Ekonomi Ismail Sabri dan Tengku Zafrul
Dalam tempoh 2 tahun terakhir, Malaysia telah dan masih
bergelumang dengan kemelut ekonomi maha besar berikutan pandemik COVID-19.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai institusi kewangan dan
keselamatan sosial pekerja turut terjejas teruk. Individu yang
dipertanggungjawabkan bagi membawa keluar Malaysia daripada krisis ekonomi ini
ialah Tengku Zafrul Aziz.
Hari ini, beliau membuat magis. Dalam keadaan ekonomi global
termasuklah Malaysia terjejas teruk, serta pencairan aset dan pelaburan KWSP
bagi menampung pengeluaran kecemasan sebanyak RM 101 billion, Perdana Menteri
mengumumkan dividen 6.1% bagi simpanan konvensional.
Pemberian dividen ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 3
tahun terakhir. Malah sejak tahun 2000, hanya 6 kali dividen tahunan KWSP
melebihi paras 6.1%. Ini luar biasa.
Bagaimana dividen setinggi 6.1% berjaya diberikan kepada ahli
KWSP?
Hipotesis terpaling asas ialah ; semakin banyak caruman,
semakin tinggi dividen. Siri demi siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang
mengurung rakyat juga sebenarnya mengurung KWSP daripada berprestasi lebih
baik. Rakyat perlu bekerja, barulah Malaysia boleh kembali bekerja. Oleh itu,
tindakan kerajaan yang memberikan jaminan bahawa sektor ekonomi tidak akan
ditutup semula adalah tepat. Majikan dan pelabur kini yakin untuk kembali ke
pasaran Malaysia.
Gandingan Ismail Sabri dan Tengku Zafrul dikecam sebahagian
politikus populis berikutan keenganan mereka meluluskan pengeluaran KWSP. Adakah
politikus yang sama akan memuji pemberian dividen yang tinggi ini? Sudah tentu
tidak. Mereka spesis yang hanya tahu bersuara sumbang tanpa mahu menyumbang.
Siri pengeluaran kecemasan daripada simpanan KWSP sebenarnya
memberikan kesan teruk kepada institusi kewangan tersebut terutamanya pencarum.
3.6 juta ahli direkodkan mempunyai simpanan kurang RM 1000, manakala 6.1 juta
lagi kurang RM 10 ribu. Sekiranya kerajaan tunduk kepada desakan bermotifkan
politik, mustahil dividen setinggi 6.1% berjaya diberikan.
Kerajaan sedar akan perkara ini. Oleh itu sewaktu desakan
pengeluaran RM 10 ribu memuncak disebabkan bah banjir, Ismail Sabri mengumumkan
bantuan kewangan dengan jumlah terkumpul RM 10 ribu kepada setiap mangsa tanpa
perlu menyentuh tabungan masa tua.
KWSP dibina sebagai simpanan masa hadapan. Untuk masa kini,
kerahkan kudrat dan tenaga muda dengan bekerja. Hentikan trend yang seolah-olah
menjadikan KWSP seperti bank. Fungsi KWSP perlu diingatkan buat yang terlupa
dan dikembalikan buat kesenangan masa tua. Ekonomi sudah dibuka dan akan terus
dibuka, dividen sudah meningkat, ayuhlah kita kembali bekerja.
Comments
Post a Comment