Ketokohan Wanita Di Sebalik Kepimpinan Negara

 

Di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakangnya. Bagi sosok bernama Ismail Sabri, hidup beliau sememangnya dikelilingi wanita. Bukan bermaksud seperti seekor buaya darat, namun beliau sentiasa menghormati dan mendengar pandangan wanita-wanita besi yang menghuni Putrajaya dan kediaman peribadi beliau.

 

Sudah tentu wanita nombor satu di hati beliau ialah Datin Sri Muhaini Zainal Abidin. Setelah 36 tahun mendirikan rumah tangga bersama, Datin Sri Muhaini dapat melihat Dato’ Sri Ismail Sabri membesar daripada seorang politikus muda menjadi negarawan ulung. Rakyat kebanyakkan jarang menyaksikan kelibat Datin Sri Muhaini di khalayak umum. Beliau lebih selesa berada di belakang tabir. Hasil air tangan beliau berjaya membesarkan 4 orang anak yang menempa nama dalam bidang masing-masing termasuklah seorang lagi wanita hebat yang wajahnya tidak tumpah seperti ibunya, Datin Nina Sabrina.

 

Di Perdana Putra pula, beliau bergantung harap kepada 2 orang wanita besi sebagai orang kanan dan kirinya. Mereka ialah Dato’ Nor Nazimah Hashim, Ketua Setiausaha Sulit dan Dato’ Ruhaidini Abd Kadir, Pengarah Media dan Komunikasi Strategik. Kedua-dua wanita ini berpengalaman luas dalam dunia politik dan korporat. Mereka bertanggungjawab memecahkan siling kaca di Perdana Putra dan mengajar kaum hawa di luar sana betapa tiada yang mustahil untuk dicapai dengan kerja keras.

 

Jemaah menteri Ismail Sabri turut dibarisi 8 orang wanita yang cukup disegani. Mereka menjawat portfolio penting yang mustahak kepada kemandirian negara. Misalnya, Datuk Seri Dr Noraini, Menteri Pengajian Tinggi yang terpaksa merombak kembali sistem pendidikan tertiari negara berikutan pandemik yang mewabak. Begitu juga dengan Datuk Halimah Sadique sebagai Menteri Perpaduan Negara yang mula mengisi kerusi tersebut dalam keadaan perpecahan rakyat dek ideologi politik yang berbeza.

 

Kepercayaan Ismail Sabri terhadap wanita tidak terhenti dalam struktur berkerajaan semata-mata. Di dalam sektor korporat, kerajaan telah mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam. Hal ini diumumkan sewaktu perbentangan Bajet 2022 yang lalu.

 

Seorang insan bernama lelaki sering dikaitkan dengan ego dan tidak mahu mendengar pandangan wanita. Namun, Ismail Sabri bukan lelaki biasa. Beliau benar-benar menghormati dan mengambil kira suara kaum hawa.

 

Beliau dibesarkan oleh seorang wanita hebat, ibunya Allahyarhamah Wan Jah Wan Mamat. Sehingga kini, beliau menyedari kepentingan untuk sentiasa mendampingi wanita-wanita hebat, baik di rumah mahupun di pejabat. Kepada wanita hebat di luar sana, selamat Hari Wanita Sedunia!

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA