Tawaran Ismail Sabri Untuk Johor

 


Semboyan PRN Johor kian berkumandang. Perayaan demokrasi kali ini cukup mustahak bagi Dato’ Sri Ismail Sabri memandangkan rata-rata penganalisis politik meletakkan prestasi Barisan Nasional (BN) di Johor sebagai kayu ukur sentimen rakyat terhadap beliau.

 

Johor adalah negeri yang unik. Ini tanah yang menyaksikan kelahiran parti keramat UMNO. Sebelum PRU-14 yang lampau, Johor sering dianggap sebagai deposit selamat BN. Tugas Ismail Sabri cukup berat. Beliau perlu mengembalikan keyakinan Johor kepada BN yang hilang pada 2018 sekaligus memberikan signal kelahiran semula UMNO di negeri asal usul parti ini.

 

Beberapa minggu kebelakangan ini, Ismail Sabri banyak menghabiskan masa di Johor. Pagi di ibu kota, petang di selatan tanah air.

 

Sambutan paling hangat terhadap kunjungan beliau sudah tentu daripada warga FELDA. Ismail Sabri turun ke Johor dengan imej seorang anak penoreh getah yang berjaya. Beliau adalah ikon bagi anak-anak peneroka yang bercita-cita tinggi.

 

Semalam Ismail Sabri menyantuni warga Felda Endau dan Felda Lok Heng. Beliau mengumumkan kelulusan 3,200 tanah lot bagi membolehkan generasi kedua FELDA membina rumah sendiri. Bagi yang tidak berslip gaji pula, mereka boleh memohon pinjaman bank menerusi Skim Pinjaman Kredit yang dijamin kerajaan. Beliau turut memberi isyarat dinamik yang baik di antara kerajaan persekutuan dan negeri apabila mengumumkan peruntukan yang dikongsi sebanyak RM 60 juta untuk pembangunan infrstruktur di kawasan FELDA di sekitar Johor.

 

Hal ini bukan pertama kali Ismail Sabri mempromosikan hubungan baik beliau dengan kerajaan negeri Johor terutamanya dengan mantan dan bakal Menteri Besar, Dato’ Hasni Mohammad. Sepanjang minggu lalu, gandingan duo ini sering dilihat bersama membuat tawaran kepada Bangsa Johor. Hasni Mohammad mengiringi Ismail Sabri di Majlis Perasmian Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera, Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit.

 

Menerusi lambakan program ini, Ismail Sabri telah mengumumkan penambahan sebanyak 305 unit kediaman tiga bilik di Kem Segamat. Selain itu, beliau berjaya menarik 20 syarikat untuk menyertai Karnival Kerjaya Jamin Kerja yang menawarkan 6,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Pontian. Warga Pontian turut menerima satu Kolej Komuniti Satelit baru. Kesemua inisiatif ini diumumkan sambil disaksikan Hasni Mohammad.

 

Itulah tawaran terbesar Ismail Sabri. Kesemua parti boleh menjanjikan seribu satu projek, namun hanya beliau yang mampu menawarkan diplomasi yang baik di antara kerajaan persekutuan dan negeri. Sebenanrnya, Ismail Sabri sedang menghulurkan tangan kepada Johor dan salam beliau disambut baik calon Menteri Besar Johor.

 

Tidak ada Keluarga Malaysia tanpa Bangsa Johor. Kepada warga negeri Darul Takzim, selamat melunaskan tanggungjawab anda.

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA