ISMAIL SABRI MENJADIKAN MALAYSIA HUB 5G
Selaras dengan keputusan tepat kerajaan untuk menyegerakan pelancaran 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) pada 16 Mac lalu, negara akan berkembang pesat dengan revolusi digital pada pelbagai peringkat. Sesuai dengan peralihan negara ke era Internet of Things (IoT), Malaysia akan muncul sebagai Hub 5G di rantau ASEAN melalui kepimpinan Kerajaan Keluarga Malaysia YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri.
Rasionalnya sangat mudah, DNB mempunyai kemampuan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub 5G di rantau ASEAN, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa perdagangan digital. Sebelum pemerkasaan dagangan dilakukan, wajar untuk kerajaan menilai akan pihak mana yang mampu merakyatkan internet sebagai hak asasi. DNB merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai kapasiti untuk merapatkan jurang digital melalui model perniagaan 'tawaran' dan mencipta 'permintaan'. Sekiranya fasiliti diberikan sama rata kepada semua tanpa mengira sempadan bandar dan luar bandar, pelbagai aktiviti janaan ekonomi dapat dipergiat melalui medium komunikasi internet!
Sektor-sektor yang terlibat seperti pembuatan, perkhidmatan, telekomunikasi malahan kraf tradisional dan pelancongan akan mendapat lonjakan dari penbangunan 5G oleh DNB. Model kreatif ekonomi melalui pembangunan digital akan dicontohi negara membangun yang lain. Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak putus memberi bantuan kepada pengguna dan peniaga untuk beradaptasi kepada peralihan iklim perniagaan digital negara.
Minggu lalu, semasa sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa digitalisasi pengguna menjadi alternatif dalam mengadaptasi perubahan gaya hidup norma baharu. Ia dapat dilihat dengan penggunaan medium dalam talian bagi pelbagai tujuan seperti urus niaga, mesyuarat, malah sesi pembelajaran.
Pendigitalan operasi terus diperkukuh untuk membantu usahawan tempatan bangkit semula dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi rakyat serta pembangunan ekonomi negara. Matlamat untuk membina Bangsa Usahawan dan menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul akan dapat dicapai melalui inisiatif di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).
Hari ini, selari dengan hasrat memperkasakan pengguna, institusi perbankan sudah sekian lama bekerjasama dengan Peniaga Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk memudahkan urusan transaksi termasuk penggunaan QRPay, serta teknologi pembayaran tanpa tunai yang lain. Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan juga dilancarkan untuk usahawan tempatan mengadaptasi teknologi digital ke arah transisi negara untuk membangunkan ekonomi digital bersama pembangunan 5G.
Lawatan Perdana Menteri ke beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Thailand, Kemboja, dan Vietnam menyatakan agenda pemerkasaan ekonomi digital yang melibatkan pelaburan berskala tinggi. Malaysia melalui YAB Perdana Menteri telah menyatakan kesudian untuk membantu Vietnam dan Kemboja mendepani pembangunan ekonomi pasca COVID-19. Keperluan industri digital menjadi semakin ketara di rantau ini dengan perubahan iklim perdagangan dan gaya hidup pengguna.
Dalam hal ini, Malaysia telah mengambil peluang bagi memastikan kepentingan negara terus dipertahankan selain berperanan aktif dalam menyuarakan kepentingan negara-negara kecil dan golongan tertindas. Hubungan antarabangsa Malaysia akan terus menyerlah dengan pelaksanaan Kerangka Dasar Luar Negeri. Penekanan dan pendekatan baharu turut diberikan kerajaan terhadap perkara penting yang merangkumi Diplomasi Kesihatan, Ekonomi Digital, dan Keselamatan Siber.
15 kawasan perbandaran akan dibangunkan sebagai Bandar Pintar yang akan merancakkan lagi pelaburan dan merakyatkan perkhidmatan digital bermula dari Kangar sehinggalah ke Kota Kinabalu. Pelbagai aset pembangunan termasuk pengangkutan pintar, bangunan pintar dan pertanian pintar akan terus dipacu untuk kesejahteraan rakyat. Sembilan industri akan terlibat dalam penjanaan sebanyak RM 650 bilion keuntungan dari keseluruhan hub 5G ini sehingga tahun 2030.
Penerokaan industri baru adalah satu keperluan untuk masa depan. Jika Tun M ada Era Perindustrian, Ismail Sabri merupakan pemelopor Era 5G yang akan melonjakkan lagi utiliti industri sehingga memberi manfaat kepada ekonomi negara dan serantau, bermula dengan kejayaan Digital Nasional Berhad membentuk ekosistem Malaysia sebagai Hub 5G. Terima kasih, tahniah dan selamat maju jaya Dato’ Seri Ismail Sabri!

Comments
Post a Comment