Kita Semua Ismail Sabri


 

Sebahagian besar daripada kita ialah anak kampung yang dibesarkan keluarga serba sederhana, mengaji di institusi awam dan berkelana ke ibu kota untuk mencari rezeki.

 

Ini kisah saya. Ini kisah anda. Ini juga kisah Ismail Sabri Yaakob. Pendek kata, kita semua Ismail.

 

Beberapa hari lepas, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengeluarkan kenyataan rasmi yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional untuk Pilihan Raya ke-15.

 

Tidak kiralah anda pentaksub parti mana sekalipun, berita ini sewajarnya memberikan sekelumit pengharapan kepada jelata marhaen di luar sana. Anak penoreh getah kini di Perdana Putra. Sutradara terulung Slot Akasia pun tidak mampu mengarang skrip ini.

 

Memang benar Ismail Sabri mewakili UMNO dan Barisan Nasional, namun yang terlebih benar ialah hakikat bahawa Ismail Sabri mewakili kita. Beliau memahami hidup rakyat biasa kerana beliau juga rakyat biasa.

 

Apakah makna di sebalik pertabalan Ismail Sabri sebagai poster boy?

 

UMNO sedang mengalami transisi. Mereka cuba menampilkan wajah baru. Mesej UMNO jelas, kami juga punya calon yang bersih. Tiada kes mahkamah, tiada reputasi sebagai warlords.

 

Ya saya sedar, Ismail Sabri sudahpun menjadi Perdana Menteri. Apa yang barunya?

 

Selama ini, ramai yang menganggap Ismail Sabri hanyalah Perdana Menteri sementara. Sampai waktunya, jawatan tersebut akan diserahkan kepada yang lain. Namun, keputusan MKT UMNO telah mematikan khabar angin tentang kepulangan semula Najib dan cita-cita politik Tok Mat.

 

Jadi sekiranya Barisan Nasional menang dalam perang yang mendatang, Ismail Sabri ialah Perdana Menteri Malaysia. Bukan Perdana Menteri kompromi, bukan Perdana Menteri interim.

 

Berita tentang pencalonan ini sedikit sebanyak melegakan banyak pihak merentas identiti kepartian.

 

Bagi penyokong Pakatan Harapan dan Bersatu yang menganut zikir ‘asal bukan Najib’, mereka lega kerana sekiranya Anwar Ibrahim atau Muhyiddin Yassin gagal menjadi Perdana Menteri, sekurang-kurangnya jawatan tersebut tidak dimiliki politikus daripada kluster mahkamah.

 

Pejuang, terutamanya Pengerusi mereka Tun Mahathir juga dilihat tidak menanam dendam kesumat terhadap Ismail Sabri sepertimana kebencian beliau terhadap Najib, Anwar dan Muhyiddin.

 

PAS pula yang bertanding sekadar untuk sijil penyertaan sudah tentu tidak kisah siapapun yang menjadi Perdana Menteri. Asalkan calon Melayu Islam.

 

Bahasa mudahnya, kalau nama-nama yang disebut di atas tidak dapat menawan Putrajaya, mereka lebih rela jawatan perdana dimiliki Ismail Sabri berbanding individu lain. Pendek kata, mereka juga Ismail.

 

Ismail Sabri disenangi lawan dan kawan kerana setiap seorang daripada kita melihat diri sendiri di dalam Ismail Sabri.

 

Bagi anak peneroka, beliau ialah inspirasi. Bagi generasi belia, beliau ialah harapan. Bagi politikus usang, beliau mengingatkan diri mereka akan zaman muda, sewaktu niat mereka menyertai politik masih suci kerana nusa dan bangsa.

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA