PENJAGA AMANAH UMMAT
Sesungguhnya tidak ada inspirasi yang lebih baik berbanding daripada Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Rasulullah SAW dan para sahabat telah diuji dengan pelbagai ujian termasuklah ujian keimanan, penindasan dan juga ujian kuasa dan kepimpinan. Mereka ini adalah qudwah yang perlu diteladani oleh umat kini.
Salah seorang daripada sahabat Nabi Muhammad yang mungkin sedikit ‘underrated’ adalah Abu Ubaidah Al Jarrah. Beliau adalah antara kelompok pertama yang telah memeluk Islam dan digelar oleh Baginda SAW sebagai “Penjaga Amanah Ummat”. Ramai yang tidak tahu bahawa selepas kewafatan Rasulullah SAW, antara calon yang disokong untuk menjadi Khalifah pertama adalah Abu Ubaidah Al Jarrah. Saidina Umar ketika itu mencadangkan nama Abu Ubaidah memandangkan beliau adalah sahabat Nabi SAW yang paling dipercayai. Abu Ubaidah sebagai seorang sahabat yang rendah diri, memilih untuk menolak pencalonan tersebut dan menyatakan sokongan beliau kepada Abu Bakar sehingga terpilihlah Abu Bakar sebagai Khalifah pertama umat Islam.
Suatu kisah popular yang menggambarkan potensi dan peribadi Abu Ubaidah adalah ketika Khalifah Umar bertanya kepada rakan-rakannya tentang apakah hajat dan impian mereka. Rata-ratanya menjawab bahawa mereka berhajat agar ruang yang sedang mereka duduki itu dipenuhi dengan emas dan permata supaya dapat mereka gunakan demi Islam. Khalifah Umar pula mempunyai hajat yang lain; beliau berhajat agar ruang yang sedang mereka duduki itu dipenuhi oleh pemuda seperti Abu Ubaidah Al Jarrah kerana itu lebih menguntungkan Islam dan ummat.
Abu Ubaidah Al Jarrah juga adalah sahabat yang bijak dan berhati-hati dalam membuat keputusan. Ketika Perang Uhud di mana Rasulullah SAW mengalami kecederaan, Abu Ubaidah adalah orang pertama yang tiba kepada baginda dan mencabut besi yang menusuk Nabi SAW menggunakan giginya. Ini dilakukan untuk memastikan besi itu dapat dikeluarkan tanpa mencederakan Nabi SAW. Saya lebih suka seandainya Malaysia mempunyai lebih ramai pemimpin seperti ini. Berhati-hati dalam membuat keputusan. Mungkin ramai akan cakap pemimpin seperti ini adalah ‘slow’, tetapi lebih baik cermat daripada menyesal. Kalau dahulu Tun Hussein Onn pernah digelar sebagai “The Slow Prime Minister” kerana beliau sangat lewat dalam membuat keputusan. Segala laporan yang dihantar kepada Tun Hussein Onn akan dibaca dengan teliti bersama dengan pensel dan pembaris.
Saya melihat sikap berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan ummat atau negara ini juga ada dalam DS Ismail Sabri. Saya melihat beliau tidak banyak melatah dan lebih bertumpu kepada mendapatkan hasil yang terbaik buat rakyat. Rasanya DS Ismail Sabri adalah satu-satunya Perdana Menteri yang bersedia dan sentiasa terbuka untuk berdialog dengan pembangkang. Walaupun pembangkang di pihak yang berbeza, di akhirnya kita semua tetap suatu ummat Malaysia yang sama.
Meneliti semula perlantikan DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri juga mengingatkan saya kepada Abu Ubaidah. Suatu hari, Rasulullah SAW didatangi oleh utusan kaum Nasrani untuk meminta Nabi SAW untuk mengutus seorang sahabat untuk membantu mereka mengadili perselisihan berkaitan harta di antara mereka. Saidina Umar pada ketika itu yang mendengar perbualan tersebut adalah berkobar-kobar untuk menjadi sahabat yang terpilih memandangkan Saidina Umar mahu menjadi kepercayaan Nabi SAW. Selepas solat, walaupun Nabi Muhammad SAW sebaliknya mencari Abu Ubaidah untuk dipilih menjadi utusan tersebut.
Pemilihan Abu Ubaidah tersebut adalah seakan-akan peristiwa politik yang berlaku di Malaysia. Sebelum terpilihnya DS Ismail Sabri, ramai yang tidak menyangka beliau sebagai calon Perdana Menteri. Ternyata DS Ismail Sabri dihormati dan dipercayai oleh para pemimpin negara masa kini untuk menerajui Malaysia walaupun DS Ismail Sabri seperti Abu Ubaidah; tidak pernah meminta atau melobi bagi jawatan tersebut.
Kita semua juga tahu bahawa ini adalah masa yang sukar buat Malaysia dan kita sedang cuba untuk bangkit semula. Mempunyai pemimpin yang bijak dan peduli kepada ummat dan Keluarga Malaysia adalah sesuatu yang perlu kita hargai. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang tidak lari meninggalkan masalah. DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri memikul tugasan yang berat ini. Pelbagai kerosakkan negara kena dibaiki semula disamping menstabilkan semula politik negara. Sifat ini juga sama dengan Abu Ubaidah yang walaupun dirayu oleh Saidina Umar untuk meninggalkan Syam, tetap teguh menjadi Amir di Syam kerana pedih melihat rakyat Syam yang ketika itu dilanda wabak.
DS Ismail Sabri sudah tentu tidak semulia para sahabat Nabi SAW yang sudah tentu dimuliakan Allah. Tugas kita sebagai rakyat yang bagus adalah untuk menegur kesilapan pemimpin. Malah ini juga bukanlah perbandingan sebaliknya hanyalah catatan inspirasi seorang rakyat dan ummat yang merindukan pemimpin yang berkualiti. Saya melihat DS Ismail Sabri mungkin adalah pemimpin yang tepat yang telah lama kita nantikan. Beliau berbangga dengan bahasanya sendiri, prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa mengutamakan kerjasama dan menghindari permusuhan. Urusan rakyat di bawah DS Ismail Sabri juga semakin dipermudahkan. Penamatan konsesi beberap tol, pengeluaran KWSP, bantuan banjir, bantuan kewangan bagi kakitangan kerajaan semuanya adalah usaha untuk memudahkan urusan ummat dan membantu Malaysia. Saya yakin DS Ismail Sabri juga berusaha dan menjadi kepimpinan para sahabat sebagai tauladan untuk dicontohi.
Barangkali seperti Saidina Umar yang menginginkan agar sebuah bilik dipenuhi oleh Abu Ubaidah Al Jarrah, saya juga mengimpikan agar Malaysia dipenuhi oleh pemimpin seperti DS Ismail Sabri.

Comments
Post a Comment