Polisi 1 April Ismail Sabri Membawa Malaysia Menghampiri Norma Asal
Tanggal 1 April 2022 akan berterusan dikenang dalam sejarah nusa. Setelah 2 tahun bergelumang dengan kemelut COVID-19, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia kini memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’. Peralihan ini merupakan langkah pertama ke arah pembinaan semula negara yang terjejas teruk dek pandemik yang mewabak.
Keputusan untuk membawa Malaysia keluar daripada fasa
pandemik bukan mudah. Pada 1 April sahaja, kes COVID-19 baharu di Malaysia
mencecah 17,476 kes menjadikan jumlah kemulatif sebanyak 4,219,395 kes. Prospek
untuk menghentikan jangkitan COVID-19 dilihat sukar berikutan kemunculan varian
baharu dari semasa ke semasa, daripada varian Delta hinggalah kepada Lambda dan
yang terkini Omicron. Pada waktu dan ketika ini, adalah tidak mengejutkan
sekiranya varian baharu akan atau telah muncul.
Kemelut ini tidak eksklusif untuk Malaysia. Seluruh
dunia berkongsi masalah yang sama. Bermula awal tahun 2022, negara-negara
Eropah mula membuka sektor ekonomi mereka secara besar-besaran. Secara
relatifnya, Eropah merupakan benua yang paling terkesan teruk dengan COVID-19
daripada segi jumlah kes. Namun, mereka memilih untuk move on. Kini, giliran Malaysia pula.
Sebaik jam menunjukkan pukul 12 tengah malam, sebak
tangisan dan sorak kegembiraan memenuhi Kompleks CIQ Singapura. Tambak Johor
dan Lebuhraya Linkedua yang sekian lama sepi kembali bingit. Di ibu kota pula,
Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) meriah seakan malam raya. Hari ini, deretan
kenderaan beratur panjang di Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya
Utara-Selatan.
Malaysia kembali bernyawa. Buat pertama kali dalam
tempoh 2 tahun, Malaysia menghampiri norma asal. Bersesak-sesak di pusat
imigresen, lebuhraya dan Jalan TAR adalah budaya Keluarga Malaysia.
1 April juga merupakan detik permulaan bagi
premis-premis perniagaan yang berkenaan dibenarkan untuk beroperasi selama 24
jam. Menurut Majlis Keselamatan Negara, peraturan ini termaktub ke atas semua premis
perniagaan kecuali pusat hiburan atau kelab malam yang masih dikekalkan dalam
senarai negatif.
Berita ini sudah tentu disambut baik semua. Restoran
mamak kini kembali beroperasi selama 24 jam. Sama ada sedar atau tidak, ‘lepak
mamak’ sudah sinonim dengan Keluarga Malaysia. Sepanjang 2 tahun bergelut
dengan COVID-19, aktiviti di restoran mamak sedikit terbatas. Selepas ini, kita
boleh kembali bersahur, menonton perlawanan bola sepak dan melepak di restoran
mamak selepas jam 12. Norma asal semakin menghampiri.
Bermula 1 April juga, rakyat Malaysia boleh memohon
pengeluaran khas setinggi RM 10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP). Dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 hari, wang tersebut akan dikreditkan
ke dalam akaun pilihan pencarum. Instrumen pengeluaran khas KWSP sudah 3 kali
dilaksanakan sebelum ini menerusi i-Citra, i-Sinar dan i-Lestari dengan jumlah
keseluruhan mencecah setinggi RM 101 billion. Walaubagaimanapun, siri pengeluaran
sebelum ini tidak dapat dioptimumkan ke dalam pasaran tempatan memandangkan
sektor ekonomi yang terkongkong dek Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
Hal ini yang benar-benar membezakan pengeluaran khas
kali ini dengan yang sebelumnya. Bermula 1 April, ekonomi sudah dibuka. Rakyat sudah
bekerja. Sebelum ini, pengeluaran wang KWSP terpaksa dibuat sebagai pengganti
gaji memandangkan sebahagian besar rakyat terkurung tanpa kerja di rumah.
Pengeluaran yang terbaru ini boleh digunakan untuk membantu peniaga-peniaga
tempatan di bazaar Ramadhan, bakeri dan butik baju. Wang yang diambil daripada
tabungan KWSP akhirnya disalurkan ke dalam kitaran ekonomi tempatan
Keluarga Malaysia sudah tepu dan jemu dengan pandemik
yang seolah-olah tidak berpenghujung. Pembukaan ekonomi bermula 1 April sudah
tentu akan memberi impak maha lumayan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang
boleh dibilang dengan angka. Namun, kesan yang lebih besar adalah impak
terhadap moral Keluarga Malaysia yang subjektif tanpa sebarang kayu ukur. Kita
sudah boleh berbelanja di bazaar Ramadhan, beraya bersama keluarga dan berkunjung
ke negara seberang. 1 April akan diingati Keluarga Malaysia sebagai tarikh
permulaan Malaysia menghampiri norma asal.
Prof. Madya Sr. Azmi bin Hassan
Penganalisis politik dan geostrategis

Comments
Post a Comment