Syawal Yang Amat Dinanti, Meriah Dan Megah
Duit raya juga telah diberikan oleh Bapa Keluarga Malaysia. Bagi kelompok B40, Bantuan Keluarga Malaysia sudah dikreditkan. Bagi penjawat awam, bonus RM 500 menanti anda. Bagi yang lain-lain, wang simpanan KWSP boleh diakses sehingga RM 10,000 untuk setiap pemohon tanpa syarat.
2 tahun kita dikurung, berhari raya sendu dan sendiri di perantauan. Ada yang terkandas di negara seberang. Ada yang menyambut di ibu kota sambil mengenang suasana hari raya di kampung halaman.
Pendek kata, lagu tema yang sesuai untuk sambutan raya 2 tahun belakangan ini ialah Dendang Perantau.
Setelah 2 tahun berturut-turut tersedu-sedan di pagi raya, tahun ini kita 'balas dendam'. Kita putarkan pula lagu Balik Kampung oleh Sudirman Arshad sebagai lagu tema Aidilfitri 2022.
Sedari kecil, kita diajar betapa hari raya ialah hari kemenangan. Demikianlah simbolik sambutan Syawal tahun ini.
Kita menang melawan pandemik dan beralih ke fasa endemik. Kita menang dalam menghidupkan kembali ekonomi negara yang lumpuh. Kita menang kerana akhirnya dapat membawa pulang ribuan anak Malaysia yang terkandas di negara orang.
Kemenangan terbesar ialah kesatuan hati Keluarga Malaysia dalam menempuh 2 tahun yang maha mencabar. Setelah bergelap dengan pandemik, banjir dan kemelut politik, Malaysia kini semakin terang ibarat menemukan cahaya di hujung terowong.
Senyum, gelak, riang tawa terpancar di setiap lapisan masyarakat. Dari senyuman ibu bapa, gelak tawa anak perantau hingga ke senda gurau anak-anak syurga, inilah yang benar-benar memaknakan sebuah "HARI KEMENANGAN".
Kalau bukan kerana Dato’ Sri Ismail Sabri, barangkali kita masih lagi terkurung dan bersendiri menyambut Aidilfitri.
Barangkali cahaya yang Malaysia temukan lewat ini adalah berkat kepimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri yang menyalakan pelita Aidilfitri kita semua. Selamat Hari Raya!

Comments
Post a Comment