Terangi Malaysia Dengan Pelita Aidilfitri



Tahun ini Syawal berkunjung lebih awal. Anak bulan belum tiba, namun raya sudah mula. Jalan TAR penuh dan ripuh saban hari seolah-olah malam raya. Kenderaan beratur panjang di lebuhraya seluruh negara kerana rakyat berkepingin pulang ke kampung.


Duit raya pun telah diterima. Bagi kelompok B40, Bantuan Keluarga Malaysia sudah dikreditkan. Bagi penjawat awam, bonus RM 500 menanti anda. Bagi yang lain-lain, wang simpanan KWSP boleh diakses sehingga RM 10,000 untuk setiap pemohon tanpa syarat.


2 tahun kita dikurung, berhari raya sendu dan sendiri di perantauan. Ada yang terkandas di negara seberang. Ada yang menyambut di ibu kota sambil mengenang suasana hari raya di kampung halaman.


Pendek kata, lagu tema yang sesuai untuk sambutan raya 2 tahun belakangan ini ialah Dendang Perantau.


Di hari raya,
Terkenang daku kepada si dia,
Kampungku indah nun jauh di sana,
Ayah serta bondaku...


Setelah 2 tahun berturut-turut tersedu-sedan di pagi raya, tahun ini kita balas dendam. Kita putarkan pula lagu Balik Kampung oleh Sudirman Arshad sebagai lagu tema Aidilfitri 2022.


Sedari kecil, kita diajar betapa hari raya ialah hari kemenangan. Demikianlah simbolik sambutan Syawal tahun ini.


Kita menang melawan pandemik dan beralih ke fasa endemik. Kita menang dalam menghidupkan kembali ekonomi negara yang lumpuh. Kita menang kerana akhirnya dapat membawa pulang ribuan anak Malaysia yang terkandas di negara orang.


Kemenangan terbesar ialah kesatuan hati Keluarga Malaysia dalam menempuh 2 tahun yang maha mencabar. Setelah bergelap dengan pandemik, banjir dan kemelut politik, Malaysia kini semakin terang ibarat menemukan cahaya di hujung terowong. Barangkali cahaya itu berkat kepimpinan Ismail Sabri yang menyalakan pelita sempena Aidilfitri.


Kemenangan demi kemenangan ini selayaknya dirayakan bersama keluarga tersayang.


Perjalanan jauh tak ku rasa,
Kerna hati ku melonjak sama,
Ingin berjumpa sanak saudara,
Yang selalu bermain di mata...

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA