Hari Raya 2022 Paling Ceria Kerana Siapa?


Sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei 2018 umat Islam di negara ini telah empat kali menyambut Hari Raya Aidil Fitri di bawah dua kerajaan dan dua Perdana Menteri berbeza.


Kali pertama dan kedua adalah sambutan Hari Raya Aidil Fitri di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Jun 2018 dan 5 Jun 2019.


Kali ketiga dan keempat pula adalah sambutan Hari Raya Aidil Fitri di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 24 Mei 2020 dan 13 Mei 2021.


Tercatat dalam rekod betapa meriahnya sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2018 dan 2019 dengan puluhan ribu pengunjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka di Seri Perdana pada Hari Raya Pertama.


Ini walaupun rakyat terkedu dengan Perutusan Hari Raya 2018 Dr Mahathir yang menekankan mengenai keperluan untuk kerajaan berjimat atas nama “mengembalikan negara ke landasan yang betul”.


Begitu juga dengan Perutusan Hari Raya 2019 Dr Mahathir yang meminta rakyat ingat bahawa nikmat yang kita kecapi bukanlah dari hasil usaha kita tetapi adalah hasil titik peluh orang asing.


Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2020 dan 2021 pula diingati kerana kesuramannya setelah negara, malah seluruh dunia juga, dilanda oleh pandemik Covid-19 yang bermula pada bulan Januari 2020.


Malang menimpa Muhyiddin kerana tatkala mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 wabak Covid-19 mula merebak menjadikan negara berada dalam keadaan tertekan.


Tiada lagi Majlis Rumah Terbuka di Seri Perdana pada era pemerintahan Muhyiddin, sebaliknya apa yang ada ialah ingatan demi ingatan kepada rakyat supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).


Solat tarawih dan solat sunat Hari Raya 2020, selain solat fardhu yang biasa, pula hanya boleh dilakukan secara berjemaah di surau atau masjid terpilih untuk sebilangan kecil jemaah sahaja atas nama SOP.


Rakyat tidak dibenarkan bergerak merentas negeri untuk balik ke kampung, rumah terbuka juga tidak dibenarkan, dan ziarah keluarga terdekat dibenarkan pada Hari Raya Pertama dengan maksima 20 orang tetamu sahaja.


Hari Raya 2021 pula disambut dalam suasana lebih teruk, hanya setelah tiga hari Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara ekoran penularan wabak Covid-19.


Ia disertai dengan penguatkuasaan larangan rentas daerah dan rentas negeri di samping larangan terhadap aktiviti sosial, pendidikan dan sukan kecuali sukan individu di kawasan terbuka. 


Kali ini bukan sahaja balik ke kampung, tetapi ziarah hari raya juga tidak dibenarkan, manakala solat sunat Hari Raya 2021 pula hanya dibenarkan dengan jumlah kehadiran jemaah yang terhad.


Dalam suasana ancaman kesihatan, yang diikuti oleh ancaman ekonomi, yang serius beginilah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021.


Tentu ramai masih ingat bahawa rekod tertinggi kes Covid-19 sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian tercatat lima hari selepas Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pada 26 Ogos 2021.

 

Begitupun, pelbagai langkah proaktif yang telah dilaksanakan oleh Ismail Sabri yang bermula dari era Muhyiddin untuk membendung pandemik Covid-19 akhirnya telah membuahkan hasil yang dicita-citakan.


Ekoran itu, kelonggaran SOP mahupun pembukaan sektor-sektor tertentu serta peralihan fasa bagi negeri-negeri tertentu telah diumumkan oleh Ismail Sabri pada 15, 22 dan 29 September serta 15 dan 22 Oktober 2021.


Lebih menggembirakan adalah pengumuman oleh Ismail Sabri mengenai kebenaran untuk merentas negeri mulai 11 Oktober 2021 selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melepasi tahap 90%.


Ini diikuti dengan satu lagi pengumuman oleh Ismail Sabri pada 8 Mac lalu mengenai Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ yang merupakan exit strategy untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal.


Fasa yang bermula pada 1 April ini membuka sempadan negara, memansuhkan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dan had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai dan sebagainya.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pula mengumumkan, bermula 1 Mei, pemakaian pelitup muka di luar bangunan serta imbasan kod QR MySejahtera apabila memasuki premis awam tidak lagi diwajibkan.


Disebabkan pelbagai insiatif kerajaan inilah maka Hari Raya 2022 dapat disambut dengan penuh keceriaan, dengan balik ke kampung, solat sunat Hari Raya, ziarah hari raya, ziarah kubur, malah rumah terbuka kini dibenarkan sepenuhnya.


Tambah menceriakan umat Islam yang menyambut Hari Raya kali ini adalah pelbagai inisiatif bantu rakyat yang telah diumumkan oleh Ismail Sabri sejak kebelakangan ini yang menunjukkan kepekaan beliau ke atas kesejahteraan mereka.


Paling diingati pastilah pengumuman oleh Ismail Sabri pada 16 Mac lalu bagi membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang mula dikreditkan pada 18 April.


Turut menceriakan ialah Bantuan Khas Kewangan Aidil Fitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah dan sebanyak RM250 kepada Pesara Kerajaan melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta pada 25 April lalu.


Lebih menggembirakan adalah pengumuman mengenai pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada pengguna yang pulang berhari raya.melibatkan 30 lebuh raya dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta.


Banyaklah lagi jasa bakti Ismail Sabri kepada pelbagai golongan rakyat lain, termasuk mereka yang terkesan dengan Covid-19, mangsa banjir dan sebagainya, sehingga menjadikan Hari Raya 2022 ini dapat disambut dengan penuh keceriaan.

Comments

Popular posts from this blog

Ismail Sabri Prihatin Nasib Nelayan

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

DSIS DISAMBUT SEBAGAI WIRA PEJUANG BAHASA SEJATI