MENTERI MAFI GAGAL URUSKAN SEKURITI BARANG MAKANAN


Ketika krisis bekalan makanan sudah menjadi satu kebimbangan sejak sedekad lalu, Malaysia sekali lagi ditekan dengan krisis ulangan ini pasca pandemik COVID-19. 


Pelan tindakan semasa sepatutnya dikeluarkan Kementerian Pertanian, Makanan dan Industri tatkala seluruh dunia jelas merasai tekanan bekalan terutamanya bekalan asas seperti ayam, gula dan beras sebelum konflik Ukraine-Rusia berlaku lagi.


Usai Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MAFI 11 Mei lalu, Dr. Ronald Kiandee menyuarakan kebanggaan beliau kepada warga MAFI atas "komitmen dalam memastikan kelangsungan bekalan dan jaminan sekuriti makanan negara sepanjang masa,". Jika benar komitmen ini yang menjadi kebanggaan, nyatalah Dr. Ronald Kiandee adalah menteri yang gagal. 


Ketika ini, peniaga dan usahawan sudah mengeluh akibat kekurangan bekalan sekaligus terpaksa meningkatkan harga jualan disebabkan kos operasi yang meningkat. Selang seminggu, dalam mesyuarat agung Persatuan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dr. Ronald Kiandee sekali lagi menjadi aksesori untuk berjalan mengiringi kepimpinan negara tanpa sebarang tindakan responsif kepada isu semasa. 


Sekadar memetik menerusi ciapan beliau  “..Ahli Jemaah Pengarah dan Pengurusan NAFAS mesti terus berganding bahu dalam memastikan NAFAS kekal relevan melalui komitmen bekerja secara berpasukan. Pengurusan NAFAS adalah tunggak kepada NAFAS untuk lebih berjaya di masa yang akan datang.”


Jika sekadar warga MAFI dan NAFAS yang perlu disandarkan tanggungjawab untuk menggembeleng tenaga memerah keringat, apakah gunanya lantikan beliau sebagai pegawai tertinggi MAFI sejak Ogos 2021? 


Kekurangan pekerja, petani, dan penanam  sepatutnya menjadi keutamaan bagi MAFI untuk kemandirian bekalan. Ketika ini, kebanyakan petani aktif adalah golongan veteran dan sudah berumur. Hal sebegini perlu diambil perhatian dan tindakan setius, bukan sekadar menghiasi laporan kementerian dan mengisi masa lapang dengan jamuan raya dan rumah terbuka.


Begitu aneh individu ini seolah-olah hilang dari radar dan melepaskan tanggungjawab beliau sehingga keseluruhan kabinet mendapat kecaman masyarakat terutamanya YAB Perdana Menteri. Seolah-olah, hanya Dato' Seri Ismail Sabri seorang sahaja yang berfungsi di dalam Kerajaan Malaysia. Dr. Ronald Kiandee, sila munculkan diri anda. Ramai sahaja dari kalangan rakyat Malaysia yang baru sahaja tahu andalah 'menterinya' yang membisu seribu bahasa dalam bacaan pendek ini.  


Cubaan untuk nampak bekerja menteri ini terserlah apabila pada 25 Mei, barulah Mesyuarat Khas Majlis Penasihat Pertanian diadakan untuk membincangkan pelan jangka SEDERHANA dan PANJANG untuk masalah bekalan makanan. Maksudnya, hari ini, apa tindakan menteri? Masalah SEDANG PARAH baru mesyuarat hendak bermula. Apakah hasil mesyuarat MPPN Bil. 2 Oktober lalu? Jika tiada, apakah yang menjamin mesyuarat kali ini akan berhasil?


Jika tidak mahu bekerja, lepaskan jawatan  dan serahkan kepada mereka yang lebih layak. Tidak ada gunanya hanya sekadar menjadi burung kakak tua kepada kenyataan Perdana Menteri untuk menghentikan eksport ayam buat sementara waktu. 


MAFI perlukan tindakan yang lebih agresif. Selesaikan punca permasalahan yang berakar lama dalam industri makanan kita, tidak perlu lantikan pakar dan pensyarah yang memakan ratusan ribu belanja. Amat memalukan negara jika fungsi seorang menteri hanyalah untuk mengepalai sebuah majlis mesyuarat tanpa hasil ketika negara memerlukan tindakan segera.

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA