Pesan Tok Mat Mengenai Pengalaman Hitam PRU-14 Wajar Jadi Pengajaran




1. Begitu banyak sekali suara yang semakin mendesak agar PRU15 disegerakan oleh Perdana Menteri. Saya pasti di sebalik suara-suara ini tentu sekali ada yang menyimpan agenda tersendiri. Paling hairan apabila ada blok pemimpin UMNO yang bersungguh-sungguh benar hendak Parlimen dibubarkan. Demokrasi mesti disegerakan katanya, tapi pemilihan parti ditangguh-tangguh pula.


2. Saya dengan rendah diri merasakan bahawa para penyokong pembubaran Parlimen ini sedang berada dalam “hubris” tersendiri. Kemenangan di PRN Melaka, Sarawak dan Johor diulang-ulang sebagai mantra untuk mempercepatkan PRU15 untuk memastikan UMNO menang dan mentadbir semula. Hakikatnya sebelum PRU14 pun, UMNO sentiasa menang PRU tetapi tetap tumbang juga.


3. Saya khuatir ramai daripada kita yang tidak mahu belajar daripada PRU14. PRU14 yang lalu menyaksikan kemerosotan teruk nilai Ringgit berbanding US Dollar. Perkara ini akhirnya menjadi tambatan pembangkang untuk menjatuhkan UMNO. Kalaulah PRU15 dibuat dalam keadaan sekarang, saya percaya skrip yang sama akan berulang semula kerana Ringgit juga semakin melemah malah lebih teruk daripada sebelum ini.


4. Saya rasa UMNO dan BN kena memahami denyut rakyat semasa ini. Dahulu ketika di PRU14, rakyat marah kerana kos hidup naik dan harga barang tak terkawal. Sekarang ini keadaan lebih kronik. Bekalan makanan terputus, ramai yang masih baru hendak memulakan semula kehidupan selepas pandemik dan acaman inflasi yang semakin hampir. UMNO dan BN tidak mampu beralasan dan berdalih dalam hal ini kerana kita yang sedang menganggotai Kabinet dan memegang kuasa sebagai Perdana Menteri.


5. Sekiranya masalah-masalah di atas tidak selesai dan PRU15 diburu-burukan, rakyat akan terus menyalahkan UMNO dan BN. Rakyat akan melihat bahawa pemimpin kita hanya peduli tentang kuasa dan tidak mengambil berat usaha untuk memakmurkan semula ekonomi rakyat.


6. Lebih sedih lagi apabila UMNO dan BN kini dipaksa untuk membela biawak-biawak hidup yang terpalit dengan korupsi jenayah dan menjadi punca BN ditolak rakyat sebelum ini. Kesilapan ini tidak boleh kita ulang. Rakyat bijak dan mereka pasti akan hukum UMNO dengan cara yang sama seperti PRU14 dahulu.


7. Semua perlu ingat juga bahawa tarikh luput automatik penggal Parlimen kini pun bukannya terlalu jauh lagi. Hanya tahun depan sahaja. Jadi daripada kita membazir melalak untuk bubar Parlimen, lebih baik UMNO dan BN berfokus untuk memperbetulkan semula kerosakkan yang sedang berlaku. Percayalah kalau sekarang ini kita bubar yang untung adalah pembangkang dan yang marah adalah rakyat.


8. Minta maaf tapi ‘feel good factor’ dan ‘perfect storm’ yang ada di PRN Melaka dan PRN Johor nampaknya sudah berlalu. Rakyat sudah mula gelisah semula, perut mereka makin lapar dan mereka sedang serabut dengan kos sara hidup. Perkara ini mesti kita selesaikan dahulu. Ambil masa yang sebaiknya untuk betul-betul memenangi rakyat. Kita tidak mahu kalah lagi.

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA