PENCERAHAN TENTANG PENGUMUMAN PEMANSUHAN UNDANG-UNDANG MATI MANDATORI DI MALAYSIA
Keputusan Kabinet Malaysia yang diketuai oleh DS Ismail Sabri untuk menghapuskan hukuman mati mandatori adalah suatu langkah reformasi undang-undang jenayah yang perlu diraikan dan disambut oleh semua pihak. Sudah bertahun seruan ini digerakkan oleh pelbagai aktivis sosial di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Akhirnya dalam tempoh yang singkat DS Ismail Sabri menunaikan perubahan ini. Berikut adalah beberapa sudut pandang positif :
1. Meningkatkan Aktivisme Kehakiman
Masalah utama hukuman mati mandatori adalah sekiranya peruntukan undang-undang memutuskan bahawa hukuman bagi sesuatu jenayah itu adalah mati, maka para hakim adalah terikat dan terpaksa menjatuhkan hukuman mati tersebut. Keputusan Ismail Sabri ini sebenarnya memperkasakan aktivisme kehakiman para hakim yang kita boleh memberikan hukuman alternatif yang bersesuaian dan hanya menjatuhkan hukuman mati bagi kes-kes 'rarest of the rare', iaitu kes-kes yang melibatkan keganasan melampau. Para Hakim kini berupaya untuk mengambil kira faktor mitigasi dan pemberat sebelum menjatuhkan hukuman. Malah aktivisme kehakiman ini adalah prinsip undang-undang yang perlu digalakkan agar setiap kes dapat diteliti dengan lebih adil oleh seorang Hakim.
2. Memperkasakan Teori Hukuman Reformatif
Sejak bertahun kita percaya bahawa hukuman mati mandatori adalah faktor pencegah dalam mengekang masalah pengedaran dadah. Hakikatnya hukuman mati gagal menjalankan fungsi tersebut. Teori hukuman sudah mula berubah dan melihat hukuman reformatif yang bertujuan membaiki peribadi pesalah dadah sebagai langkah yang lebih berkesan. Penghapusan paksaan hukuman mati ini sekarang membenarkan Hakim Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang bersesuaian kepada pesalah.
3. Membantu Proses Penghantaran Pulang Perlarian Penjenayah
Kewujudan hukuman mati mandatori sebelum ini juga menjadi batu penghalang kepada usaha Malaysia untuk mendapatkan semula penjenayah yang telah disabitkan kesalahan tetapi telah berjaya lari ke luar negara. Walaupun penjenayah tersebut dapat ditangkap oleh pihak berkuasa luar negara, beberapa negara yang anti hukuman mati telah enggan menghantar semula penjenayah tersebut atas alasan mereka menentang hukuman mati. Australia misalnya sudah bertahun-tahun menjadi lubuk perlarian penjenayah Malaysia. Penghapusan mati mandatori ini akhirnya akan menambahbaik langkah 'repatriation' oleh Malaysia dan membantu negara untuk memenuhi sistem keadilan dengan memastikan tiada sesiapa yang terlepas dengan lari ke luar negara.
4. Malaysia Sebagai Negara Contoh ASEAN
Negara ASEAN masih dipandang sinis oleh beberapa negara maju kerana masih mengekalkan hukuman mati mandatori. Singapura sebelum ini telah menggantung mati seorang rakyat Malaysia yang kurang upaya. Hukuman gantung juga semakin meningkat di Thailand dan Vietnam. Malangnya masalah dadah serantau di Thailand dan Vietnam masih tetap tinggi. Keberanian Malaysia yang meletakkan moratorium hukuman mati semenjak 2021 kini disambung pula dengan penghapusan terus hukuman mati mandatori. Malaysia dan DS Ismail Sabri sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia bersedia sebagai negara ASEAN yang tidak takut untuk merintis perubahan.
5. Perubahan Yang Seimbang
Dalam berbicara hal hukuman mati terdapat dua kem utama iaitu mengekalkan hukuman mati dan menghapuskan hukuman mati. Kem Pro Kekal berpaut kepada hujah bahawa hukuman mati masih relevan sebagai faktor pencegah manakal Kem Pro Hapus berpegang kepada falsafah bahawa nyawa adalah 'sacred' dan tidak boleh dicabut dalam apa jua keadaan. Menyedari kerumitan dan faktor emosi dalam hukuman mati ini, DS Ismail Sabri sebenarnya telah berjaya memilih langkah tengah dan seimbang. Hukuman mati masih kekal tetapi hanya akan dijatuhkan jika Hakim merasakan ianya sesuai. Sudah tentu ianya berkaitan dengan kes-kes berat seperti pembunuhan ganas dengan niat yang sengaja dan sebagainya. Manakala bagi kes-kes yang boleh mengambil kira faktor kemanusiaan seperti pengedaran dadah kerana keterdesakan ekonomi, hukuman mati boleh dielakkan. Ini juga sebenarnya membantu nurani para Hakim di mana mereka boleh ketepikan hukuman mati sekiranya mereka mempunyai keraguan di dalam hati berkenaan hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang. Saya mengambil kata-kata daripada ahli Jurisprudens Jeremy Bentham -
"Error is possible in all judgments. In every other case of judicial error, compensation can be made to the injured person. Death admits of no compensation."
Kesimpulannya, saya sangat menghargai langkah yang telah diambil oleh DS Ismail Sabri. Suatu perubahan yang terpuji dan membantu pentadbiran keadilan jenayah di Malaysia. Sebagai salah seorang alumni di tempat DS Ismail Sabri menuntut Ijazah Undang-Undang dahulu, saya tumpang berbangga.

Comments
Post a Comment