INDEKS PAK LEMAN : FORMULA YANG LEBIH BERFOKUS KEPADA GOLONGAN B40
1. Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia saban tahun tidak memberikan gambaran sebenar situasi yang dihadapi majoriti besar pengguna.
2. Hal ini kerana IHP mengambil kira kesan inflasi kepada pengguna secara keseluruhannya. Sedangkan, setiap isi rumah mempunyai kuasa beli yang berbeza.
3. Faktor tangga gaji, geografi, gaya hidup dan banyak lagi menjadikan IHP kurang tepat dalam mengukur kuasa beli pengguna.
4. Oleh itu, Indeks Pak Leman (Layman Index) adalah lebih bersesuaian memandangkan indeks ini berfokus kepada kelompok B40.
5. Beberapa kategori yang digunakan untuk menganggar purata perbelanjaan pengguna di dalam IHP disesuaikan mengikut gaya hidup B40 di dalam Indeks Pak Leman.
6. Misalnya, perbelanjaan kesihatan di dalam IHP disertakan dengan caruman insurans dan takaful peribadi. Sedangkan pengambilan pakej perlindungan kesihatan masih rendah dalam kalangan B40.
7. Malah, golongan B40 lebih cenderung untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan awam berbanding swasta yang menjadi pilihan kelompok lain. Hal ini menjadikan golongan B40 kurang merasakan kesan inflasi terhadap perbelanjaan penjagaan kesihatan berbanding golongan lain.
8. Kategori gaya hidup juga merupakan salah satu skop yang diambil kira di dalam IHP yang perlu diubahsuai kepada golongan B40 di dalam Indeks Pak Leman.
9. Pemilikan rumah adalah rendah bagi kelompok B40 yang lebih banyak menyewa kediaman mereka. Kategori-kategori lain yang digunakan di dalam IHP seperti makanan, kenderaan, pendidikan anak dan simpanan juga memerlukan pengkhususan buat golongan B40.
10. Indeks Harga Pengguna ialah kayu ukur yang terlalu luas dan tidak berfokus. Kelompok B40 memerlukan satu indeks yang lebih tepat dalam menggambarkan situasi mereka. Mereka perlukan Pak Leman.

Comments
Post a Comment