GANDINGAN ZAHID HAMIDI DAN ISMAIL SABRI ADALAH PENAWAR PASCA KETIADAAN NAJIB
Jika dahulu Anwar dipecat Tun Mahathir, bumi Pulau Pinang bertukar cerita. Anwar dari Permatang Pauh diganti dengan Pak Lah dari Kepala Batas, juga dari Pulau Pinang. Kini Najib Razak dari Pekan menjalani hukuman, Pahang tidak terlepas sama apabila Ismail Sabri dari Bera memimpin negara. Hakikatnya, Pahang tanpa gagal sentiasa melahirkan negarawan. Pemimpin yang berjiwa besar, yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara.
Zahid Hamidi dan Ismail Sabri bukanlah duo yang asing di dalam UMNO. Malah perkenalan Zahid Hamidi dan Ismail Sabri sejak dari zaman universiti mengukuhkan lagi persaudaraan ini. Selaku Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia ke-9, Zahid Hamidi dan Ismail Sabri mampu memastikan UMNO terus relevan dalam perjuangannya.
Meletakkan seorang menjaga parti, manakala seorang menjaga kerajaan adalah formula terbaik buat masa ini. Kita seharusnya memasakkan keyakinan terhadap dua tokoh pemimpin ini. Di saat pembangkang bersorak atas keputusan mahkamah Najib Razak, UMNO tidak hilang taringnya. Gandingan Zahid Hamidi dan Ismail Sabri bukanlah boleh dipermain-mainkan. Bak kata orang lama, anak harimau jangan diajak bertampar, ingat-ingat kukunya.
UMNO tidak boleh lagi berpecah belah semata-mata memikirkan tembolok sendiri. Hentikan segala percaturan politik sehingga mencetuskan polemik negatif dalam kalangan rakyat. Ini semua ‘sakit’ yang pasti dirawat melalui gandingan Zahid Hamidi dan Ismail Sabri. Seharusnya perwakilan UMNO kekal bersatu teguh dalam mendepani cabaran yang mendatang.
Taklimat Khas Presiden UMNO pada hari Sabtu ini adalah satu pentas keamanan dan perpaduan bagi seluruh perwakilan UMNO. Semua ahli jawatankuasa Bahagian dan pimpinan parti seharusnya mengimbau kembali asal tubuh perjuangan UMNO. Perjuangan demi bangsa, agama dan negara jangan sekali dicemari dengan pergolakkan remeh.
Kes Najib Razak harus diselesaikan secara berhikmah demi kelangsungan parti dan negara. Keputusan mahkamah harus dihormati, dan dalam masa sama UMNO di atas slogan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat perlu teruskan perjuangan demi kelangsungan politik matang.
Survival politik UMNO bukanlah umpama bergantung pada tali yang rapuh. UMNO pernah hadapi isu yang lebih besar suatu ketika dahulu. Tidak perlulah menambah garam pada luka lama dengan mengimbau kembali kisah dahulu. Namun berkat kematangan Ketua Bahagian ketika itu, UMNO terus kekal sehingga ke hari ini, terus diyakini dan diangkat bagi menerajui kepimpinan negara.

Comments
Post a Comment