PRU 15 : KESTABILAN, REFORMASI & PENAMATAN RIWAYAT PN



Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hampir. Ini satu rahsia terbuka.


Barisan Nasional sedang dan akan berterusan menyiapkan jentera di setiap negeri. Mereka akan turun ke gelanggang demokrasi dengan iltizam menawan kembali negara berikutan siri kemenangan berturut-turut di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim serta kejayaan menawan semula Melaka dan Johor.


Bagi Pakatan Harapan, Parti Keadilan Rakyat baru sahaja selesai pemilihan parti. Rafizi Ramli kembali ke pentas. DAP kelihatan kukuh di kawasan-kawasan bandar seperti biasa. MUDA juga sudah mula.


Perikatan Nasional pula sibuk menuntut pelbagai jawatan di dalam kabinet dan GLC. Barangkali sedar, tempoh ini adalah masa-masa akhir mereka di Putrajaya.


Barisan Nasional dijangka bakal berkenduri besar semasa pilihan raya akan datang. Tawaran terbaik mereka sudah tentunya kestabilan.


Kali pertama Barisan Nasional tumbang dalam sejarah negara, Malaysia dihimpit ke kancah ketidakstabilan politik. 3 kerajaan berbeza dalam tempoh 4 tahun terakhir bukanlah satu perkara yang sinonim dengan kestabilan.


Rakyat mula sedar bahawa kestabilan hanya dan hanya boleh hadir dengan Barisan Nasional.


Lebih menarik, reformasi kini tidak lagi eksklusif buat Pakatan Harapan. Jenama tersebut telah dirampas dan ditampal pada Ismail Sabri.


Di bawah pentadbiran Ismail Sabri, beliau berjaya melunaskan agenda reformasi yang terkandung dalam Buku Harapan. 


MA63, Undi18, pelaksanaan gaji minimum RM1500, Akta Anti Lompat Parti - kesemua ini merupakan reformasi institusi yang diperjuangkan Pakatan Harapan, namun hanya berjaya dijalankan oleh pentadbiran Ismail Sabri.


Jadi apa yang tinggal untuk Pakatan Harapan? Hanya harapan palsu dan cita-cita politik tak bertepi Anwar Ibrahim.


Perikatan Nasional adalah gabungan politik yang dibentuk oleh katak-katak politik yang sedang nazak berikutan kelulusan RUU Akta Anti Lompat Parti tempoh hari. Mereka sedang dan perlu dihukum oleh rakyat.


Reputasi politikus yang buruk, ketiadaan blok pengundi yang besar dan agenda yang tidak jelas akan meletakkan paku akhir pada keranda Perikatan Nasional. Pemergian mereka semestinya tidak akan dirindui.


PRU-15 akan menjadi gelanggang pertempuran dua tawaran, kestabilan atau reformasi.


Rakyat tidak perlu memilih salah satu, memandangkan kedua-dua tawaran tersebut hadir dengan Ismail Sabri dan Barisan Nasional.

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA