GAGASAN KELUARGA MALAYSIA MEMACU KESEJAHTERAAN NEGARA
Malaysia berjaya meletakkan diri sebagai salah sebuah negara terbaik dalam menguruskan keamanan dan kesejahteraan nasional. Menurut laporan Global Peace Index (GPI) 2022 oleh Institute of Economics and Peace (IEP) yang diterbitkan pada Jun 2022, Malaysia melonjak empat anak tangga, menduduki tempat ke 18 daripada keseluruhan 163 buah negara pada tahun 2022.
Laporan GPI yang bersifat komprehensif ini membabitkan 97.3% penduduk dunia dan penentuan indeks ditentukan menggunakan 23 indikator, termasuk konflik dalam negara, kestabilan politik, kadar jenayah serta ancaman keganasan.
Selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan pada 22 Ogos 2021 oleh YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kejayaan ini jelas menggambarkan keupayaan gagasan Keluarga Malaysia dalam memacu kesejahteraan negara dan seterusnya meletakkan negara di tangga yang terbaik sejak GPI ini bermula pada tahun 2008.
Konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama berkongsi nilai prihatin dan kasih sayang sebagai sebuah keluarga besar negara Malaysia telah menjadikan Malaysia sebagai negara keempat terbaik di Asia Pasifik dalam GPI ini.
Melalui tiga teras utama iaitu, keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, menjadikan gagasan Keluarga Malaysia ini relevan dalam mencitrakan pembinaan sebuah negara bangsa yang aman dan sejahtera. Seluruh rakyat Malaysia bersama di bawah naungan Keluarga Malaysia, mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan, memulih semula dan merapatkan jurang ekonomi di antara masyarakat.
Antara indikator menarik di dalam GPI ini adalah domain ketenteraan di mana Malaysia mengunguli di tangga kelima sebagai negara paling aman di dalam pengurusan ketenteraan. Manakala bagi domain konflik domestik dan antarabangsa, Malaysia berjaya menduduki tangga kesembilan negara paling aman berbanding 163 buah negara yang lain.
Kedudukan ini jelas membuktikan dalam tempoh setahun konsep Keluarga Malaysia digagaskan, negara kita berupaya mengawal dan mencegah konflik dan keganasan daripada terus berleluasa. Kedudukan ini juga membuktikan keharmonian pelbagai kaum dan agama di Malaysia dapat diraikan dengan penuh hemah bagi membendung sebarang konflik dalaman.
Laporan GPI ini juga merekodkan Malaysia sebagai salah sebuah negara di Asia Pasifik yang menyumbang kepada domain kestabilan politik terbaik di dunia hasil daripada pengurusan politik yang signifikan dalam negara. Berkat daripada pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September 2021 yang lalu, membuktikan kerjasama politik merentas parti bukan sekadar retorik politik, malah membuka mata dunia tentang kehebatan negara mengendali perbezaan politik demi pembangunan negara.
Jika sebelum ini dunia dihebahkan dengan naratif masyarakat negara Sweeden sebagai masyakarat paling makmur di dunia dan Bhutan sebagai negara paling bahagia di dunia, kini Malaysia mengatasi segalanya apabila telah berjaya memintas kedua-dua buah negara ini di dalam Laporan GPI yang terkini.
Semoga ahli Keluarga Malaysia terus setia bersama-sama menjayakan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara paling aman, sejahtera dan harmoni biarpun berdepan dengan segala cabaran dan dinamika perbezaan.

Comments
Post a Comment