JASA ISMAIL SABRI TIDAK CAMPURTANGAN BADAN KEHAKIMAN BAWA IMEJ BAIK UNTUK UMNO BN
UMNO sekarang dalam kekeliruan. Keliru antara mahu menyelamatkan Agama, Bangsa, Tanah Air atau sebenarnya mahu menyelamatkan kroni. Bahaya kepada UMNO terutamanya jika keliru tak keruan ini berterusan. Untung parti politik lawan kerana sudah pasti kecenderungan ini tidakpun menyebelahi rakyat yang sekian lama rasa teraniaya dengan isu integriti pemimpin.
Sindiran demi sindiran dari kalangan pemimpin UMNO kepada YAB Perdana Menteri sebenarnya mengeruhkan lagi persepsi awam kepada parti tersebut.
Sudahlah ramai pemimpin (dan yang memimpin suami) terpalit isu rasuah, satu dunia juga tahu. Kini, bila pesalah mahu disabit dan dihukum, sebahagian dari UMNO menganggap mempertahankan pesalah-pesalah ini adalah hal yang patut dilakukan pula?
Seolah-olah mereka terlupa sekiranya KORUPTOR yang sahih dibuktikan di mahkamah ini dibebaskan, adakah ia akan membugar sokongan rakyat dan demokrasi, terutama dalam PRU akan datang?
Mana logiknya kalau perasuah dibebaskan atau sekurang-kurangnya diringankan hukuman, integriti UMNO naik menjulang dan masyarakat akan semakin cenderung memilih pemimpin dari kalangan UMNO untuk menjadi wakil rakyat? Falasi.
Alignment sudah lari. Kompas sudah gelong. Arah tuju makin merapu. Sebab itu tindakan YAB Perdana Menteri untuk tidak campur tangan dalam institusi kehakiman dan perundangan sepatutnya diraikan.
Ia bawa mesej dan imej yang baik untuk UMNO dan Barisan Nasional. Berjuta masyarakat melihat tindakan Ismail Sabri sebagai satu titik pusing baharu untuk UMNO.
Tidak campur tangan bukan bermakna kita gembira pemimpin kita dipenjara. Jauh sekali bertepuk tangan menyokong dan ketawa. Institusi Kehakiman dan Perundangan akhirnya bebas membuat keputusan tanpa tekanan dari Badan Eksekutif, itulah satu-satunya cara keadilan boleh dipertimbang.
Kalau benci pada pemimpin diktator, itulah yang tiada pada Ismail Sabri.
Kalau tak suka pada pemimpin yang mengikut selera sendiri menentukan kawan sendiri sentiasa benar, musuh pula sentiasa salah, itu jugalah Ismail Sabri.
Tindakan tidak campurtangan ini hal yang meredakan banyak perkara.
UMNO mula dibebaskan dari stereotaip kaki kroni. UMNO juga dibebaskan dari cop rasmi penyakau wang rakyat.
UMNO juga satu-satunya parti yang MULA mengakui kesalahan pemimpin sendiri! Yang mengikat moraliti dan kenahuan masyarakat untuk bermain bersama dalam sukan politik - selama ini yang disangka pengadil dan garisan gelanggangnya adalah wang.
Zaman tersebut sudah tamat. Persepsi dan keadilan yang dituntut rakyat - akhirnya dibenihkan dari tindakan tegas seorang Perdana Menteri yang mengambil risiko untuk menerima caci maki hamun dari parti dan akar umbi sendiri.
Cuma UMNO perlu kembali beringat, rasa puas melempar tomahan itu mungkin melegakan hati sendiri. Tetapi bukan hati rakyat.
Lebih kuat tekanan yang diberikan kepada Ismail Sabri atas tindakan wajar beliau, lebih lemahlah tenaga UMNO yang sepatutnya menilai dari awal, apakah matlamat dan tujuan setiap tindakan yang menjadi propaganda riuh seuruh negara.
Semaklah kembali, mana yang menguntungkan, mana yang merugikan. Siapa yang mencemarkan, dan siapa pula yang menanggung beban tanpa rungut, dan ikhlas untuk membersihkan.

Comments
Post a Comment