LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE) MEMBENTUK SINERGI BAHARU ANTARA DUA BUAH NEGARA
Hubungan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah terjalin sejak awal tahun 1970-an lagi menjadikan hubungan persaudaraan antara kedua-dua buah negara ini tidak perlu disangkal lagi. Malah, hubungan kedua buah negara ini bertambah kukuh dengan lawatan kerja YAB Perdana Menteri ke UAE pada 26 September yang lalu bagi membincangkan peluang kerjasama baharu.
Dato’ Seri Ismail Sabri telah menyuarakan beberapa pandangan bagi memperkukuh kerjasama ekonomi di antara Malaysia dan UAE, selain turut membincangkan isu kemanusiaan sejagat yang perlu dijuarai oleh UAE selaku antara kuasa besar dunia. Lawatan dan perkongsian pandangan ini secara langsung telah membentuk sinergi baharu antara kedua-dua buah negara dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.
Antara kerjasama yang dibincangkan adalah berkaitan isu sekuriti makanan yang menjadi cabaran besar buat semua negara di dunia. Beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi membincangkan skop kerjasama bagi mendepani cabaran sekuriti makanan. Selain turut mencadangkan UAE melakukan Reverse Investment di Malaysia bagi menyokong Dasar Sekuriti Makanan kedua-dua negara.
Cadangan ini merupakan solusi terbaik bagi memastikan keperluan makanan bagi rakyat kedua-dua buah negara dapat dipenuhi dan dalam masa yang sama merancakkan perkembangan sektor ekonomi di negara Malaysia dan UAE.
Di dalam konteks perdagangan pula, nilai dagangan negara telah meningkat 90.4% untuk 8 bulan pertama tahun 2022 iaitu berjumlah RM 25.6 bilion. Jumlah ini melebihi nilai keseluruhan pada tahun 2021, iaitu RM 22.29 bilion. Hal ini jelas membuktikan lebih banyak peluang kerjasama perdagangan yang boleh diteroka lagi diantara kedua-dua buah negara.
YAB Perdana Menteri juga sempat mengadakan lawatan ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC). Beliau telah berjaya meyakinkan pihak ADNOC bahawa syarikat Malaysia berminat untuk menjalinkan kolaborasi dengan syarikat UAE dalam bidang petroleum yang merupakan antara bidang terpenting bagi memperkukuh pendapatan dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi kedua-dua buah negara. Antara koloborasi lain adalah termasuk sektor huluan dan gas asli cecair, tenaga boleh diperbaharui, fertilizer dan karbon dioksida (CO2).
Selain membincangkan sinergi ekonomi, YAB Perdana Menteri turut membincangkan isu kemanusiaan sejagat yang perlu diberikan perhatian dengan komited. Beliau berharap UAE menggunakan statusnya sebagai ahli bukan tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan pelarian Rohingya di Myanmar. Selain memainkan peranan yang aktif bagi menghantar mesej penting bahawa isu kemanusiaan ini tidak boleh ditinggalkan sepi tanpa perjuangan yang sewajarnya.
YAB Perdana Menteri juga membangkitkan isu berat sebelah masyarakat dunia seperti yang dapat dilihat dalam krisis Ukraine yang lebih difokuskan berbanding isu di Palestin. Beliau percaya kemanusiaan adalah milik semua tanpa mengira agama dan bangsa. Tiada yang boleh dikesampingkan hanya kerana wujud perbezaan agama dan bangsa.
Jelaslah lawatan kerja ini lebih dari sekadar lawatan. YAB Perdana Menteri bukan sekadar meneruskan legasi kerjasama dua hala, malah beliau telah berjaya membuka ruang sinergi baharu di antara kedua-dua buah negara di dalam pembangunan ekonomi dan perjuangan kemanusiaan sejagat.
Tahniah YAB Perdana Menteri! Inilah nilai Keluarga Malaysia yang rakyat dambakan. Perjuangan demi kepentingan bersama bertunjangkan pembangunan negara dan rakyat.

Comments
Post a Comment