PERSIAPAN KELUARGA MALAYSIA MENGHADAPI BANJIR KALI INI LEBIH AWAL
Minggu lalu Perdana Menteri telah mengumumkan persiapan menghadapi banjir yang diramal berlaku akibat perubahan monsoon hujung tahun ini. Dato’ Sri Ismail Sabri juga menegaskan bahawa persiapan perlu dilakukan tanpa mengira kebarangkalian besar atau kecil banjir yang akan berlaku.
Persediaan seperti pusat pemindahan banjir, stok makanan, dan pengangkutan akan disiapkan sebelum November. Jabatan Meterorologi Malaysia telah mengumumkan hujan lebat berterusan akibat fenomena La Nina akan berlaku sekitar pertengahan November.
Semua pihak berkaitan telah dipanggil Jabatan Perdana Menteri termasuk Agensi Kesiapsiagaan Bencana Negara (NADMA) dan wakil-wakil Kerajaan Negeri pada Isnin lalu.
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) bersetuju supaya JPBD yang dipengerusikan Pegawai Daerah diaktifkan segera dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.
Bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.
Kementerian Pendidikan Malaysia diarahkan memastikan asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana boleh digunakan oleh mangsa banjir manakala di sekolah tanpa asrama yang digunakan sebagai PPS, semua fasiliti dinaik taraf seperti menyediakan bilik mandi dan sebagainya.
Mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan.
Keluarga Malaysia yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diharap supaya sentiasa peka dengan amaran awal dan segera berpindah sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.
Tahniah Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan DSIS untuk kesiapsiagaan menghadapi bencana kali ini. Semoga impak kerosakan dan kehilangan nyawa dapat dikurangkan sekiranya berlaku musibah banjir luar biasa penghujung tahun ini.

Comments
Post a Comment