DSIS BERI JAMINAN TIADA ISU DENGAN ZAHID HAMIDI



“Tiada perkara yang boleh jejaskan hubungan saya dengan Presiden UMNO"


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai sebarang isu atau berlaku perpecahan seperti dakwaan atau tohmahan sesetengah pihak.


"Saya beri jaminan, tiada isu antara saya dan Ahmad Zahid Hamidi, tetapi (wujud) 'nasi-nasi tambah' di luar sana sebenarnya kerana apabila kita berpecah, yang untung mungkin mereka.


"Pepatah Melayu menyatakan, 'antan sama antan berlaga, ayam di tepi kekenyangan.' Kita berlaga, dia untung. Jadi, marilah kita bersatu, biarkan dia yang rugi," katanya.


Ismail Sabri berkata, beliau dan Ahmad Zahid duduk berbincang bagi menghentikan serta menepis tanggapan jahat itu.


DSIS turut menegaskan beliau sudah lama kenal Presiden UMNO iaitu Zahid Hamidi sejak di sekolah lagi. 


Perkara ini kemudiannya turut diakui oleh Ahmad Zahid, apabila dalam ucapannya kemudian menjelaskan beliau mengenali dan rapat dengan Ismail Sabri ketika masih belajar di Universiti Malaya pada 1973.


“Ketika itu, saya tinggal sebilik dengan abang beliau iaitu Kamarulzaman Yaakob dan Ismail Sabri yang ketika itu belajar di Maktab Teknik, hampir setiap minggu datang ke bilik kami.


“Jadi, janganlah ada sesiapa hendak masuk campur isu hubungan kami. Tiada orang PM (Perdana Menteri), orang Presiden, yang ada hanya orang UMNO, orang BN,” jelas beliau.


Pada masa sama, beliau memberi amaran kepada mana-mana pihak yang bertindak sebagai penasihat atau penyokong masing-masing agar berhenti cuba melaga-lagakan mereka, sebaliknya sekarang adalah masa untuk bekerja memastikan kemenangan BN.


“Kita ketepikan pandangan berbeza, saya tahu kami ada penyokong dan penasihat masing-masing, kita menghargainya, tetapi penasihat berilah nasihat yang baik-baik, jangan jadi punahsihat,” jelas beliau. 


Ismail Sabri berkata demikian ketika melancarkan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Kompleks UMNO Bagan Datuk.

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA