PAKATAN HARAPAN: RETAK MENANTI BELAH
PKR, DAP dan AMANAH yang cuba mengekalkan gabungan politik melalui Pakatan Harapan (PH) masih berdepan dengan masalah remeh berkaitan penggunaan logo parti bagi bertanding di dalam PRU-15. Seolah-olah wujud kesangsian di antara ketiga-tiga parti dalam PH ini soal keyakinan terhadap gabungan mereka.
Hal seremeh penggunaan logo pun sudah tidak berjaya mendapat kata sepakat, bagaimana pula dengan hal yang lebih utama berkaitan hala tuju pentadbiran dan perjuangan gabungan politik ini. Pasti bukan gabungan politik ini yang layak mendapat mandat mentadbir negara.
Jika diperhatikan semasa PRN Melaka yang berlangsung pada 20 November 2021, PH telah sepakat menggunakan logo gabungan mereka. Kononnya gabungan ini bakal menggegarkan landskap politik tempatan dan mereka percaya strategi itu akan membuahkan hasil. Namun hasilnya cuma 5 kerusi DUN yang berjaya mereka tawan berbanding keseluruhan 28 DUN.
Selepas dikecewakan dalam PRN Melaka, PH terus mencuba nasib dengan menggunakan dua logo semasa PRN Johor, 12 Mac yang lalu. Ketika itu, PKR berkeras menggunakan logo sendiri dan parti lain bertanding di bawah logo PH. Hasilnya? Mereka cuma meraih 13 kerusi DUN berbanding keseluruhan 56 DUN.
Keputusan PH untuk menggunakan dua logo pada PRN Johor menggambarkan betapa rapuhnya kesepaduan sesama parti politik dalam gabungan itu dan bagaimana bermasalahnya mereka dalam mencapai kesepakatan bersama.
Kini, bukan setakat rapuh, PH sebenarnya sudah retak menanti belah. DAP pula berkeras mahu menggunakan logo sendiri di dalam PRU-15. Walaupun pada asalnya, Majlis Presiden PH pada 5 Oktober yang lalu telah menetapkan untuk semua parti di bawah gabungan PH menggunakan logo PH semasa PRU-15
DAP Sarawak bertegas akan menggunakan logo roket kerana percaya logo itu sudah sinonim dengan pengundi tempatan. Hakikatnya, perkara ini adalah petanda DAP mahu menunjukkan mereka adalah lebih dominan berbanding parti PH yang lain. DAP percaya mereka boleh bertanding sendiri tanpa perlu ada gabungan bersama parti PH yang lain.
Perbezaan penggunaan logo itu jelas menunjukkan tiga parti di bawah PH itu tidak sependapat, selain DAP dan AMANAH seperti tidak mahu dibayangi PKR. Malah logo PH juga dilihat tidak memberi banyak kelebihan dan gabungan itu kini masih belum utuh dalam kerjasama berbanding sebelum ini.
Keengganan DAP ini tidak lain menunjukkan Majlis Presiden PH tidak langsung berkuasa mengikat kesepaduan di antara parti politik PH. Malah menggambarkan betapa gagalnya mereka dalam mentadbir pengurusan pilihanraya.
Ternyata, sebelum PRU-15 bermula pun gabungan PH telah menunjukkan sisi hitam mereka. Ketiga-tiga parti masih berjuang atas parti sendiri tanpa ada semangat kesepaduan antara mereka. Jelaslah PH hanya sekadar gabungan ‘harapan’, yang belum pun bergigi sudah mahu menggigit, yang belum berkuku sudah mahu mencubit.

Comments
Post a Comment