PILIH BAJET, BUKAN MANIFESTO BULAN BINTANG



Menghampiri PRU-15 ini, pasti rakyat dihidangkan dengan seribu satu manifesto yang menjanjikan harapan dan mimpi indah. Sehinggakan keluarlah janji-janji yang hakikatnya mustahil ditunaikan pun dijadikan umpan memancing kepercayaan rakyat.


Manifesto bulan bintang yang begitu sinonim dengan pembangkang ini akan terlihat begitu cantik di atas kertas, namun praktikalitinya pasti akan meragukan. Disebabkan itulah sehingga diberi peluang memerintah kerajaan pun mereka masih gagal tunaikan janji menurunkan harga minyak dan menghapuskan tol.


Belum lagi disenaraikan manifesto lain seperti menurunkan harga barangan, menghapuskan pinjaman PTPTN dan sebagainya yang tidak ditunaikan. Mana semua janji-janji itu? Jelas dan terbukti, pembangkang hanya pandai memancing rakyat dengan isu-isu sebegini sedangkan apabila menjadi kerajaan dan mempunyai kuasa, mereka gagal melakukannya. 


Malah, Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR telah memohon maaf kepada semua rakyat di atas kegagalan kerajaan PH menunaikan sebahagian besar janji manifesto PRU-14.


Begitu juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, pernah mengakui kerajaan pimpinannya sukar menunaikan manifesto tersebut kerana perkara yang dijanjikan kepada rakyat tidak mudah dilakukan. 


Apa boleh buat, sakit menimpa sesal terlambat. Inilah dikatakan orang sudah terhantuk baru mahu tergadah, sudah terbukti gagal baru mahu sedar dari lamunan. Mungkin belajar dari kegagalan lepas, strategi PH bagi PRU-15 kali ini lebih kepada serangan provokasi semata-mata tanpa sebarang manifesto yang jelas boleh diyakini rakyat.


Berbeza dengan bajet yang sifatnya jelas berpandukan realiti kewangan semasa. Bajet dirangka berdasarkan keupayaan negara menjana pendapatan dan potensi yang dimiliki dalam setiap satu inisiatif yang dicadangkan.


Bajet tidak dirangka bagi memenangi undi, sebaliknya dirangka demi menjuarai kepentingan nasional dan rakyat. Bajet diperhalusi berasaskan kebolehcapaian dan bukannya sekadar menabur umpan. Bajet juga disediakan dengan mengambil kira kestabilan dan kesejahteraan rakyat, bukan disedia sembarangan tanpa memikirkan sebab dan akibat.


Oleh sebab itu, Bajet 2023 Keluarga Malaysia seharusnya lebih diyakini dan dipilih rakyat dalam membuat keputusan di atas kertas undi. Segala inisiatif dan bantuan yang terkandung di dalam bajet ini bukan sekadar janji kosong, sebaliknya satu kepastian di saat BN memenangi PRU-15 dan mentadbir negara.

Comments

Popular posts from this blog

DSIS DESIGNATED SURVIVOR YANG DITAKDIRKAN MENJADI PERDANA MENTERI

MALAYSIA BAKAL MENJADI PENGUASA INDUSTRI HALAL GLOBAL

DSIS : WARGA FELDA ISTIMEWA DAN DIJAMIN AKAN TERUS DIBELA