JADILAH PEMBANGKANG YANG BIJAK
Rakyat sudah menolak Barisan Nasional. Ini realiti yang cukup pahit untuk ditelan.
Berbekalkan hanya 30 kerusi, masih ada segelintir pemimpin BN yang tetap bercita-cita untuk menyertai kerajaan.
Apa mereka tidak malu dengan prestasi terburuk BN dalam sejarah?
Apa mereka tidak sedar bahawa ketaksuban menyertai kerajaan hanya akan menambah kebencian rakyat terhadap parti?
Seperti seruan Ismail Sabri, Tok Mat, Shahril Hamdan dan beberapa pemimin BN lain, lebih baik kita kekal sebagai pembangkang.
Jadi blok pembangkang yang bijak.
Kita pernah berada di tempat tersebut. Selepas kegagalan dalam PRU-14 pada tahun 2018, kita kekal sebagai pembangkang yang diketuai oleh Ismail Sabri.
Sewaktu itu, kita bina semula kekuatan BN daripada blok pembangkang.
Sedikit demi sedikit kita menangi kembali keyakinan rakyat. Kita semak setiap kegagalan Pakatan Harapan.
Sampailah kita berjaya menghimpunkan satu juta rakyat di ibu kota.
Sampailah kita menang besar dalam beberapa siri pilihan raya kecil.
Sampailah akhirnya dengan takdir Tuhan, kita diundang kembali membentuk kerajaan.
Pesan saya buat pemimpin-pemimpin BN, jangan takut untuk meninggalkan kerusi empuk kerajaan.
Negara memerlukan BN sebagai pembangkang yang bijak dan baik.
Masa untuk bersedih sudah tamat. Kesat air mata dan ingat perasaan anda pada waktu ini.
Jangan biarkan perasaan ini bertandang kembali.
Fokus kita cuma dua, penjenamaan semula parti dan BN sebagai pembangkang yang bijak dan cekap.
Demi Malaysia, BN akan kembali suatu hari nanti.

Comments
Post a Comment