JANGAN BIARKAN BENDERA PUTIH KEMBALI BERKIBAR
Cukuplah.
Jangan biarkan ia berulang.
Rakyat dikurung dalam tempoh yang paling panjang di dunia. Ramai yang kehilangan kerja. Lebih mendukacitakan, kes bunuh diri juga meningkat.
Segala pengorbanan rakyat ini seolah sia-sia apabila kes COVID-19 pada waktu itu tetap berada di luar kawalan.
Pada Julai 2021, purata kes harian COVID-19 per 1 juta penduduk Malaysia merupakan yang tertinggi di Asia dan ke-8 tertinggi di dunia.
Apa gunanya PKP, PKPP, PKPD dan bermacam-macam huruf lagi sekiranya COVID-19 tetap gagal dibendung?
Apa gunanya rakyat dikurung?
Malangnya kegagalan maha besar ini tidakpun dapat dibincangkan di Parlimen.
Muhyiddin Yassin bertindak mengunci pintu Parlimen kerana takut dengan undi tidak percaya.
Biarkan rakyat terseksa dan merana, biarkan rakyat kehilangan nyawa, yang penting kuasa masih ada di tangannya.
Cukuplah pdf mengenai kemas kini situasi COVID-19 di Malaysia, tidak perlu sidang Parlimen.
Kelemahan pentadbiran ini bukan sahaja menjejaskan rakyat, malah turut memberi kesan kepada keyakinan pelabur.
Buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia hilang penarafan gred A oleh Fitch Ratings.
Malah pertumbuhan KDNK dan kadar pelaburan asing Malaysia merupakan antara yang terendah di Asia Tenggara semasa pentadbiran Muhyiddin.
Sepanjang 6 bulan pertama 2021, Bursa Malaysia diiktiraf pasaran saham paling corot di Asia Pasifik dengan penurun sebanyak 5.81 peratus.
Memalukan.
Apabila rakyat sudah tidak lagi boleh bergantung harap kepada Kerajaan Muhyiddin Yassin, bendera putih mula dikibarkan.
Warna putih bukan tanda kita mengalah, itu tanda kita kuat.
Bersolidariti membantu sesama kita setelah Kerajaan Muhyiddin Yassin gagal menjalankan tugas.
Ada yang berkongsi bahan mentah untuk dimasak.
Ada yang berkongsi juadah yang sedia terhidang.
Ada juga yang berkongsi barangan keperluan belajar untuk kelas atas talian anak-anak mereka.
Perkongsian yang paling dirasai bersama pada waktu itu ialah kekecewaan kita terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin.
Mujur zaman gelap itu sudah berlalu.
Namun jangan sesekali dilupa perasaan itu. Jangan biarkan bendera putih kembali berkibar.

Comments
Post a Comment