REKOD BAIK ISMAIL SABRI CERAHKAN PELUANG UMNO DAN BN DALAM PRU 15
Tanggal 21 Ogos 2021 sekitar jam 2.30 petang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 di hadapan Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara.
Selepas setahun lebih, Ismail Sabri kelihatannya semakin selesa dengan peranannya sebagai Perdana Menteri. Kelihatannya juga beliau telah berjaya mengemudi negara dengan baik sejak mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri.
Agenda vaksinasi negara berjaya dilaksanakan dengan baik dan cepat. Kes Covid-19 berjaya diturunkan dengan jumlah kematian yang semakin rendah. Pandemik ditamatkan dan era endemik bermula. Tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semua sektor ekonomi telah kembali dibuka. Pertumbuhan ekonomi mula dicatatkan. Kehidupan seharian rakyat mula kembali ke era pra Covid-19. Sebahagian besar pekerja sektor awam dan swasta telah kembali ke pejabat atau tempat kerja masing-masing. Sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi telah kembali dibuka seperti biasa.
Paling penting, kerjasama dengan pihak Pakatan Harapan selaku pembangkang telah berjaya dimeterai sebaik sahaja beliau mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri. Ini juga satu sejarah baru kepada politik negara bagi memastikan kerajaan tidak dijatuhkan sekali lagi dan kestabilan politik dapat diwujudkan bagi membolehkan kerajaan menguruskan negara tanpa gangguan politik yang berterusan pasca pandemik, khususnya mengurus ekonomi negara yang terjejas teruk semasa pandemik.
Malahan, Ismail Sabri dengan tegas menyebut bahawa beliau akan membubarkan Parlimen jika ada pihak yang mahu cuba menjatuhkan kerajaannya seperti mana yang berlaku kepada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebelumnya.
Penegasan ini jelas memperlihatkan bahawa Ismail Sabri sendiri tidak khuatir untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) kerana beliau yakin dengan apa yang telah dilakukannya sejak kembali ke dalam kabinet baik sebagai Menteri Kanan, Timbalan Perdana Menteri waima Perdana Menteri sekali pun.
Beliau sedar dan akur dengan realiti politik dalam sebuah sistem demokrasi bahawa akhirnya rakyat perlu kembali dirujuk bagi mendapatkan mandat baru setelah tempoh penggal pemerintahan sesebuah kerajaan berakhir.
Slogan dan pendekatan Keluarga Malaysia yang beliau perkenalkan semakin popular dan mendapat perhatian masyarakat. Bantuan-bantuan kebajikan kepada rakyat yang terkesan dengan kadar inflasi yang meningkat sudah dan sedang dipergiatkan.
Bantuan kepada para usahawan dan peniaga yang terjejas dengan keadaan ekonomi yang suram juga sudah banyak yang dihulurkan. Kenaikan harga makanan sudah dan sedang dikawal serta dipantau dengan rapi.
Selain itu, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat parti juga telah berjaya dibentang dan diluluskan oleh Parlimen. Ini adalah satu lagi kejayaan besar bagi demokrasi di Malaysia kerana tiada kerajaan sebelum ini yang bersungguh-sungguh menangani isu ini dengan sempurna berbanding apa yang berjaya dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri sendiri.
Satu dua kelemahan yang wujud dalam pentadbiran kerajaan adalah lumrah dan tidak mencacat-celakan prestasi kerajaannya yang telah diperlihatkan sebelum ini. Kerajaan BN-PN pimpinan Ismail Sabri kelihatannya lebih stabil dan semakin diterima oleh rakyat.
Hanya di dalam UMNO sahaja yang kelihatannya kemelut politik belum selesai sepenuhnya. Ini kerana Ismail Sabri merupakan Naib Presiden UMNO yang pertama berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Situasi ini tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO di sepanjang kewujudannya sebagai parti ulung orang Melayu di negara ini. Bererti dari segi hierarki parti, masih ada dua orang lagi yang berada di atas beliau di dalam kedudukan senioriti parti.
Hal inilah yang memberikan cabaran yang bukan sedikit kepada Ismail Sabri. Di ketika UMNO telah berjaya kembali ke Putrajaya dengan Ismail Sabri sebagai Perdana Menterinya, beliau tidak berupaya sepenuhnya untuk membawa UMNO untuk bersama-sama dalam semua perkara dan keputusan yang dibuatnya di dalam kerajaan.
Hal ini tidak sukar difahami kerana terdapat pihak yang mahu beliau campur tangan dalam hal ehwal perundangan negara bagi membantu beberapa orang pemimpin dan bekas pemimpin UMNO yang sedang menghadapi kes masing-masing di mahkamah.
Sementara semua orang sedar bahawa kerajaan pimpinan Ismail Sabri bukanlah sebuah kerajaan yang dikuasai oleh UMNO/BN sepenuhnya, sebaliknya turut mendapat dokongan PN, GPS dan beberapa orang Ahli Parlimen yang lain, sebahagian pimpinan dalam UMNO terus memberi tekanan kepada Ismail Sabri untuk mengambil beberapa langkah dan tindakan yang mungkin tidak dipersetujui oleh rakan-rakan parti lain dalam kerajaan.
Ini termasuklah mengharapkan beliau campur tangan atau melakukan sesuatu dalam perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan konsep pengasingan kuasa (the doctrine of separation of power) dalam kerajaan antara Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif.
Beliau harus mengurus keadaan ini semua dengan sebaik-baiknya. Selain itu, di mata rakyat beliau juga harus dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang menghormati keluhuran undang-undang (rule of law) dan tidak bersifat semberono campur tangan dalam hal ehwal perundangan negara.
Syukurlah kerana Ismail Sabri kelihatan berjaya melaksanakan peranannya sebagai ketua eksekutif kerajaan yang tidak mencampuri tugas dan urusan badan kehakiman.
Hal ini penting kerana nama baik UMNO dan BN sendiri akan terjejas di mata rakyat jika perkara ini tidak diberikan perhatian. UMNO dan BN mungkin terjejas teruk dalam PRU 15 jika sekiranya keluhuran undang-undang tidak dipelihara dengan baik oleh kerajaan.
Rekod baik Ismail Sabri sebagai ketua eksekutif kerajaan, dan pengumuman bahawa beliau adalah calon Perdana Menteri UMNO dan BN, sekali gus menjadi faktor penting yang menjadikan peluang UMNO dan BN untuk memenangi PRU 15 kelihatan lebih cerah.
Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak ialah Profesor Emeritus dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (mulai 2019). Beliau juga merupakan mantan Naib Canselor UUM (2010-2018) dan juga mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia (2020-2021).

Comments
Post a Comment